
Ugut Nak Saman Hanya Kerana ‘Koyak’, Ikuti Pandangan Seorang Peguam Terkemuka
Dari pasar raya besar terkenal sehinggalah ke Planet Zargus, media sosial kini kecoh dengan isu saman-menyaman yang ditimbulkan oleh segelintir pihak yang tidak berpuas hati apabila dijadikan bahan penulisan berbentuk sindiran.
Mungkin kerana kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang semakin terasa, atau sekadar suka-suka, ramai pula netizen termasuk beberapa pempengaruh media sosial yang didapati turut ‘join’ sekali membuat hantaran dan ciapan sebegini sehingga akhirnya isu saman ditimbulkan kerana ada pihak yang ‘koyak’ akibat berasa malu, tidak selamat dan trauma.
Adakah ini sebenarnya yang dikatakan sebagai kebebasan bersuara atau gurauan yang disifatkan sebagai menghina dan melampau? Personaliti perguaman popular, Nor Zabetha ada membuat perkongsian menarik di Facebooknya mengenai isu panas ini untuk dijadikan renungan bersama.
Memandangkan rata-rata kita dengar saman dan menyaman berkaitan posting. Ambil contoh isu terkini tentang Mydin.
Situasi begini sehinggakan kita orang awam ini, jadi tidak boleh komen apa-apa? Adakah begitu? Tetapi masih ada pihak lain mengeluarkan dan menyingkap kisah-kisah yang lalu. Bagaimana pula?
Kebebasan bersuara
Di Malaysia, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara. Contoh, kalau kita tidak setuju isu silibus tinggi, beg berat dan lain-lain. Adakah kita sebagai ibu bapa tidak boleh bersuara atau membuat aduan? Bersuara itu boleh tetapi jangan melampau.
Melampau misalnya, melukis gambar Menteri dan menukarkan menjadi imej haiwan kerana marah, menghina dan mencaci maki kerajaan dengan kata-kata kesat.
Kebebasan bersuara kita dapat lihat, dalam medan penulisan politik. Contohnya hentam sana sini, bongkar itu ini oleh kedua-dua pihak. Kadangkala kita baca, keras penulisannya dan ditambah lagi dengan ‘fake account’.
Kalau dikira tulisan begini berjuta setiap tahun di media sosial sama ada dari pemilik akaun atau dari komen awam. Tetapi selagi mana tidak melampaui undang-undang, contohnya tidak menuduh ahli politik tanpa bukti, tidak menghina kedaulatan raja-raja, tidak menghasut benci agama lain atau bangsa lain, maka bukanlah merupakan kesalahan undang-undang.
Kes saman
Kes-kes saman-menyaman antara ahli politik memang banyak di mahkamah tetapi setiap kes ini, yang meritnya sangat kuat dan ada asasnya. Apabila penuntut memang tahu bahawa kesnya benar-benar kukuh dan si penulis tiada bukti menyokong kenyataannya.
Tulisan-tulisan netizen atau lawak-lawak troll dalam kalangan netizen memang banyak tetapi fokus dalam kalangan ahli politik, VVIP ini adalah kepada kes yang lebih bermerit.
Kadangkala saya terlihat, isu bola sepak antara TMJ dan MB Kedah. Mungkin ada beranggapan keras. Ada beranggapan berani ya tulis begini? Tetapi tidak, peminat bola sepak tahu, itu bakar-membakar namanya. Gurauan kasar tentang bola sepak. Tidaklah saman-menyaman dan tiada juga dakwaan titah murka.
Begitu juga isu kartunis Fahmi Redza dan Putera Mohkata Pahang, yang suka karya satira pelukis itu tentangnya. Tiada juga isu saman-menyaman atau laporan polis.
Saman fitnah
Hendak buktikan saman fitnah di mahkamah juga bukan mudah. Ada elemen-elemennya. Adakah tulisan merujuk kepada Plaintif? Adakah tulisan itu fitnah atau menjatuhkan reputasi? Adakah disampaikan kepada pihak ketiga?
Cukup elemen, maka boleh saman. Tidak cukup elemen maka ditolak. Ambil situasi kes Dr Maza. Pada tahun 2021, Dr Maza iaitu Mufti Perlis berjaya tindakan saman terhadap aktivis T. Arunakirinathan dengan ganti rugi sebanyak RM150,000.
Di atas, kes Dr Maza menyaman individu dan satu kes lagi, kali ini Dr Maza pula disaman oleh oleh Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin. Pada September 2022, Mahkamah menolak tuntutan saman yang difailkan oleh Zamihan.
Kalau kita tengok kes di atas, kejap boleh saman dan dapat tuntutan. Kejap tidak boleh. Kenapa? Semuanya tertakluk kepada fakta dan elemen undang-undang.
Jangan melampau
Ingat, kebebasan bersuara dan atas dasar kebebasan ini, saya boleh menulis. Kalian boleh menulis tentang pelbagai isu ustaz didakwa gangguan seksual, perbicaraan ahli politik, isu semasa dan lain-lain.
Ingat juga penulisan-penulisan kita jangan sehingga melampau batas dan melangkaui undang-undang.
Oleh Nor Zabetha
BACA: Gadis Jolobu vs ZHAFVLOG: Peguam Kongsi Pandangan Mengenai Kes Saman