
Ucapan ‘Makcik Goreng Pisang’ PM: “Kenapalah Buat Macam Tu…?”, Wartawan Veteran Tegur Netizen
Dalam satu sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjelaskan mengenai beberapa faktor yang menyebabkan subsidi bersasar tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Antara faktor tersebut termasuklah pemberian subsidi terhadap minyak masak berpeket yang menurutnya agak sukar dikawal.
Oleh itu, Perdana Menteri telah memberikan contoh situasi yang melibatkan peniaga gerai kecilan-kecilan — seorang makcik yang menjual pisang goreng.
“Yang susah nak kawal, minyak masak peket untuk kegunaan rumah tetapi pengusaha-pengusaha…restoran besar menggunakannya dan satu lagi agak sukar nak kawal, tak sampai hati nak ambil tindakan terhadap makcik-makcik yang jual pisang goreng.
“Mereka tak boleh gunakan minyak masak untuk kegunaan jual pisang goreng itu salah, sebab minyak masak peket tidak boleh untuk komersial, tapi adakah penguat kuasa nak saman makcik atau rampas minyak masak mereka? Nanti dituduh kita zalim pula kepada rakyat yang miskin ini yang nak menjual…kais pagi makan pagi,” jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Namun, video ucapannya tersebut telah disunting dan dipendekkan durasinya menjadi hanya beberapa saat oleh netizen yang tidak bertanggungjawab seolah-olah peniaga pisang goreng sengaja dianiaya oleh kerajaan kerana dilarang menggunakan minyak masak paket.
Melalui laman Facebook Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri mendakwa ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataannya tersebut yang kini tular setelah dikongsi oleh orang ramai di media sosial.
Wartawan veteran, Syahril A. Kadir turut menyelar sikap netizen yang sengaja menimbulkan kekeliruan serta menimbulkan kebencian dalam hantarannya berikut:
ADA ternampak video yang dipotong sekerat mengenai ucapan PM pasal makcik goreng pisang.
Kenapalah buat macam tu sampai menimbulkan kebencian sedangkan ucapan dia tu panjang lagi, tetapi deme dah potong kat tengah semata-mata nak bagi orang sakit hati dan marah kat dia.
Kalau tak suka tak apa tetapi jangan fitnah dan ajak orang lain ‘join the bandwagon’.
Nak jawab apalah bila Mahsyar nanti…iskh.
BACA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi: Persoalan Dan Cabaran Sebenar Yang Mereka Perlu Tempuhi
Sumber: Facebook Syahril A. Kadir, Utusan Malaysia