Silibus Pelajar

Ubah Silibus Jadi Lebih Mudah Hanya Akan Membantutkan Potensi Pelajar Itu Sendiri?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mohamad Syafiq Ya Shak, seorang pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perak telah berkongsi pandangannya mengenai silibus kanak-kanak sekolah yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Dalam ruangan Minda Pembaca yang diterbitkan di portal Berita Harian, Mohamad Syafiq menulis, gesaan supaya silibus masa sekarang diubah atau dipermudahkan jika dilihat dari satu sisi dikhuatiri tidak mampu menjadikan keadaan yang lebih baik bagi seseorang murid.

Menurutnya, terlalu mempermudahkan kandungan pembelajaran juga hanya akan menunjukkan betapa tidak mampu pelajar itu menguasai kemahiran penting di aras yang tinggi.

“Kita juga seolah-olah mengatakan murid terlalu ‘bodoh’ untuk memahami isi kandungan pembelajaran sendiri. Adakah ini realiti sebenar pelajar Malaysia, yang cuba kita sembunyikan selama ini?,” jelasnya.

Memberi kesan

Tambah Mohamad Syafiq lagi, mempermudahkan kandungan pembelajaran juga bakal memberikan kesan kepada peribadi pelajar itu.

“Kita tidak mengajar murid untuk menyahut cabaran dan dikhuatiri pada masa depan, mereka akan semakin tidak berdaya saing, hanya mampu merungut kerana tahu rungutan akan didengari.

“Apakah ini nilai yang mahu diterapkan kepada anak kita? Faktanya, dunia tidak berputar di sekeliling mereka sebaliknya perlu beradaptasi, terutama saat menjengah ke dunia pekerjaan nanti”, tambahnya lagi.

Pensyarah itu juga beranggapan bahawa kandungan pembelajaran perlu dipermudahkan semata-mata bagi memberikan keadilan kepada pelajar yang lemah juga tidak patut dijadikan sebagai alasan.

“Persoalannya sekarang, adakah kita turut memberikan keadilan kepada mereka yang cemerlang dan mampu menguasai kandungan pembelajaran ini?”

Tolak ke tepi

“Sungguh menghairankan saat sebilangan guru dan ibu bapa dengan mudah mahu ‘menolak ke tepi’ pelajar yang berjaya ini dengan alasan mereka adalah minoriti. Bukankah ini juga sebuah bentuk diskriminasi?

“Mereka tidak mahu anak mereka yang dianggap lemah didiskriminasikan oleh kandungan pembelajaran yang dikatakan terlalu tinggi, tetapi dengan mudah menyisihkan pelajar yang berjaya? Adakah ini pilih kasih? Bukankah semua pencapaian patut diraikan?,” soal beliau.

Beliau juga berpendapat, pelajar cemerlang yang ‘ditolak ke tepi’ ini pula tidak mustahil akan berasa berputus asa selepas melihat perhatian berlebihan yang diberikan kepada rakannya yang lain yang dianggap ‘lemah’ itu.

Prestasi ‘biasa-biasa’

Beliau menambah, langkah tersebut hanya akan menggalakkan semua pelajar untuk berprestasi sekadar ‘biasa-biasa’ sahaja.

Malah, lebih mengejutkan bagi beliau apabila dilihat ada juga segelintir pihak yang mahu murid sekolah rendah hanya diajar mengenai apa yang perlu mereka gunakan dalam kehidupan harian sahaja dan tidak lebih dari itu.

“Kita mungkin berfikir bahawa sedang membantu anak kita sekarang. Tetapi, sebaliknya, kita juga bakal ‘melumpuhkan’ keupayaan mereka dalam menghadapi cabaran dunia masa depan yang semakin getir.

“Sudah-sudahlah kita membuat keputusan berdasarkan emosi sesaat serta sentimen yang dibawa kelompok pempengaruh di media sosial,” ujar beliau lagi.

Di akhir penulisannya, Mohamad Syafiq berharap agar para ibu bapa yakin dengan kemampuan anak mereka serta dapat membantu mereka bagi mencabar diri sendiri untuk lebih berjaya.

“Mempermudahkan kandungan pembelajaran serta menurunkan standard pendidikan bukanlah jawapan. Kita sebenarnya cuma menutup bukti ketidakmampuan pelajar,” tambah beliau mengakhiri penulisannya tersebut.

Silibus Pelajar

BACA: Ramai Terkejut Tengok Silibus Budak Darjah 1, Ustazah Sendiri Pun ‘Surrender’

Sumber: Berita Harian