UAE Kahwin Dalam Talian

UAE Benarkan Rakyatnya Berkahwin Secara Dalam Talian

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ketika sebilangan orang yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada penggal pertama tahun ini tidak dapat meneruskannya gara-gara wabak COVID-19, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengambil pendekatan berbeza iaitu melancarkan perkhidmatan perkahwinan dalam talian.

Berikutan sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19, pasangan yang ingin berkahwin pada waktu ini boleh meneruskan pernikahan. Kementerian keadilan berkata, warga UAE dan penduduk di sana boleh memilih tarikh untuk majlis perkahwinan dalam talian yang akan dikendalikan menerusi pautan video bersama jurunikah selepas semua dokumen berkaitan diluluskan.

Menerusi prosedur itu, jurunikah akan mengesahkan identiti pasangan dan saksi sebelum sijil nikah diserahkan kepada mahkamah khas untuk pengesahan. Pasangan pengantin akan menerima pengesahan sijil nikah itu melalui mesej teks.

Perkhidmatan itu dilancarkan ‘untuk mengekalkan kesihatan orang ramai dan orang-orang yang bekerja di mahkamah dan untuk menghadkan kehadiran pekerja’, lapor WAM.

UAE Kahwin Dalam Talian

Ia perkenalkan selepas Dubai menggantung urusan berkaitan perkahwinan dan perceraian akibat kekangan pergerakan bagi mengekang Covid-19.

Namun, sehingga kini tidak ada sebarang maklumat mengenai langkah menyelesaikan urusan perceraian sepanjang tempoh sekatan pergerakan.

Sementara di Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang menangguhkan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah bermula 1 April sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Namun, ada juga yang tetap melansungkan pernikahan tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP iaitu menjaga jarak sosial, memakai topeng muka dan turut menyediakan cecair pembasmi kuman.

Malah, majlis yang dilangsungkan hanya secara sederhana dan dalam tempoh yang singkat tanpa sebarang majlis kenduri. Akad nikah juga perlu dijalankan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau jurunikah.

Sumber: Gulf News