
Turki Hasilkan Wang Kertas Bebas Jangkitan Mikroorganisma Termasuk COVID-19
Susulan daripada jangkitan virus COVID-19 yang boleh kekal berada di permukaan dalam tempoh masa tertentu, sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Instanbul, Turki telah menghasilkan wang kertas menggunakan teknologi penyahjangkitan untuk kegunaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Dengan teknologi berkenaan, wang kertas yang dihasilkan menjadikan pengguna bebas daripada dijangkiti semua mikroorganisma termasuklah COVID-19. Teknologi penyahjangkitan yang dihasilkan Turki ini juga membolehkan semua ATM bersih serta mesra alam sekitar.
BACA: Malaysia Terima Cadangan Guna Mata Wang Kripto Negara Islam
Di Eropah sahaja, bilangan bakteria yang dapat dikenal pasti pada purata 500 wang kertas adalah sebanyak 26,000 yang sudah cukup untuk membuatkan penggunanya jatuh sakit.

Wang kertas ini hanya akan digunakan apabila penyakit wabak utama menyerang, yang mana wang kertas akan dikumpulkan dan dibakar di pusat wang kertas sebelum mencetak yang baharu untuk diedarkan.
Langkah ini terlebih dahulu pernah dilakukan China sebagai satu langkah mengelakkan penyebaran virus COVID-19 terus menular selepas kaedah pembasmian kuman dilihat sebagai tidak cukup.
Setakat hari ini, kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia sudah mencatatkan lebih 276,125 dengan kadar kematian 11, 404, manakala 7,911 berada dalam keadaan kritikal dan 91,952 sudah disahkan sembuh.
China masih mendahului 185 buah negara lain dengan catatan kes jangkitan sebanyak 81,008; yang mana 71,740 daripada sudah disahkan sembuh manakala 3,255 kematian.
Sementara itu di Malaysia, angka jangkitan kini sudah mencecah 1,030 dengan kadar kematian seramai tiga orang dan 26 yang lain berada dalam keadaan kritikal.
BACA: Perintah Kawalan Pergerakan: Rakyat Malaysia Sedang Lakukan Yang Sama Seperti Penduduk Wuhan
Sehubungan dengan peningkatan ini, pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Malaysia telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini bagi memecahkan rantaian jangkitan.
Sumber: AA.com