
Tuntutan Faraid Selesai, Isteri Arwah Abam Dan Ibu Dapat Bahagian Masing-Masing
Tuntutan Faraid Selesai, Isteri Arwah Abam Dan Ibu Dapat Bahagian Masing-Masing
Sebelum ini, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau pelawak Ali Puteh mengaku mengeluarkan saman terhadap Nor Hidayah selepas kakak iparnya itu mengeluarkan saman terhadapnya terlebih dahulu.
Bagaimanapun, pihak peguam isteri kepada Allahyarham Abam Bocey, memaklumkan saman itu hanyalah saman sivil mengikut prosedur.
Terkini, konflik yang berpanjangan dalam keluarga mereka akhirnya selesai selepas pihak mahkamah telah menetapkan penbahagian faraid berdasarkan hukum Islam.
Menurut Hidayah ,dia berpuas hati dengan keputusan mahkamah mengenai tuntutan faraid yang difailkan pada 15 Julai lalu. Pembahagian berdasarkan hukum syarak membabitkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan Allahyarham.
“Alhamdulillah, selesai urusan faraid. Pihak sana pun akan dapat bahagian mengikut hukum syarak. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Selepas ini doakan saja yang terbaik buat saya dan anak.
Pihak mentua tidak hadir
“Walaupun pihak sana tak hadir, tapi tidak mengganggu proses mahkamah sebab bahagian sudah dibahagikan. Apa saja yang ditinggalkan arwah seperti rumah, kereta, semua wang, jam tangan, kasut, kamera, telefon bimbit dan barang lain difaraidkan,” katanya.
Mengenai wang RM10,000 yang dikeluarkan daripada akaun arwah suami seperti didakwa Ali Puteh, Hidayah mengaku melakukannya. Namun, dia menafikan menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi.
“Saya ada mengambil wang RM10,000 tetapi saya masukkan ke dalam akaun anak saya. Saya tidak gunakan sesen pun,” katanya.
Mengulas spekulasi konon kereta mewah peninggalan Abam ditarik, Hidayah menafikannya.
Kereta tak kena tarik
“Kereta masih ada… Dakwaan yang mengatakan kereta itu ditarik tidak benar. Tetapi, saya tidak mahu komen lebih-lebih,” katanya.
Dalam masa sama, Hidayah berkata, mahkamah menetapkan tarikh baru pada Oktober depan mengenai tuntuhan hak penjagaan anak. Ia berikutan kegagalan pihak ibu mentuanya, Sabariah Arshad hadir ke mahkamah.
Sementara itu, Ali Puteh mengucapkan syukur susulan keputusan mahkamah tersebut. Katanya menerusi Harian Metro, perkara itu perlu dibuat mengikut hukum syarak sama seperti yang pernah dinyatakan dalam dua siri video yang dimuat naik sebelum ini.
Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun tiga bulan.
Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari mengalami demam.
Sumber: BH