
Tun Mahathir Imbau Kenangan Lawat Kuarters Ketika Bergelar Doktor Tahun 1956
Tun Mahathir Imbau Kenangan Lawat Kuarters Ketika Bergelar Doktor Tahun 1956.
Walaupun kelihatan sudah usang dengan kebanyakan tingkap sudah tidak sempurna, dapat dirasai strukturnya masih utuh dan cantik.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad memuat naik hantaran di media sosial berkongsi keadaan sebuah rumah ketika mengunjungi kawasan beliau di Langkawi.
Rumah tersebut merupakan kawasan kuarters yang sempat didiaminya ketika bergelar pegawai perubatan.

“Pada tahun 1956 saya ditugas sebagai Medical Officer, Langkawi. Ini kuarters yang saya tinggal selama enam bulan di Jalan Ayer Hangat, Kuah.
“Di seberang jalan terletak hospital lama. Reka bentuk rumah ini masih kekal.
“Di jendela yang sama saya lihat perubahan Langkawi,” tulis Dr Mahathir.
Ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957.
Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Tun Dr Siti Hasmah pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Perkongsian foto itu mendapat perhatian ramai dengan rata-ratanya mencadangkan kuarters berkenaan dibaik pulih kerana nilai sejarah dan estetika.

“Strukturnya cantik lagi. Kerajaan seharusnya membaik pulih kuarters sebegini kerana nilai sejarah dan estetika.”
“Tempat jatuh lagi di kenang …ini kan pula tempat bermula segala-galanya.”
“Alangkah moleknya jika YB Tun Mahathir baik pulih dan jadikan muzium atau klinik atau Pusat Khidmat Masyarakat untuk warga Langkawi. Bagi saya ia satu nilai sejarah yang perlu dikekalkan.”
“Rumah lama struktur sangat kuat dan kukuh. Bahan binaan sangat bagus, tahan lama. Rumah ini patut dibaikpulih dan gunakan rumah ni sebaik mungkin. Jangan dirobohkan.”
BACA: Pada Usia 95 Tahun, Dr Mahathir Buka Akaun TikTok