
Tun M Dedah Hasrat Mahu Pecat Muhyiddin Yassin, Ini Respon Tenang Daripada Empunya Badan
Beberapa hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilanda konroversi diikuti dengan pemecatan serta merta Tun M dan empat lagi pengikutnya iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Abd Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah melalui satu makluman berbentuk surat daripada Setiausaha Kerja BERSATU, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya.
BACA: Tun M Masih Pertikai Pelantikan Muhyiddin Sebagai PM, Dakwa Ianya Tidak Tepati Undang-Undang
Tidak lama kemudian, Muhammad Suhaimi pula dipecat oleh Setiausaha Agong parti, Datuk Wira Marzuki Haji Yahya di atas kesalahan memecat keahlian tanpa pengetahuan dan merujuk kepada beliau.
Tun dalam satu sidang media semalam memberitahu beliau dan penyokongnya mahu memecat Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Parti BERSATU tetapi mahukan ianya dilakukan dengan cara yang betul semasa ditanya sekiranya beliau mahu Muhyiddin dipecat kerana membawa BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan (PH) tanpa persetujuan majlis tertinggi.
“Kami mahu memecatnya. Kami akan mengadakan sidang Majlis Tertinggi.
Ada seseorang positif COVID-19 dekat dengannya (Muhyiddin). Perlu berada sekurang-kurangnya satu meter. Jadi sekarang dia tidak boleh bertemu sesiapa selama 14 hari.”
Dalam sidang media itu juga Tun mendedahkan beliau telah memecat Suhaimi dan melantik Datuk Shazmi Miah (BERSATU Kelantan) bagi menggantikan kekosongan yang ada.
Dalam satu sidang lain, Muhyiddin sebagai Presiden merangkap Pemangku Pengerusi BERSATU mengucapkan selamat maju jaya kepada Tun M berhubung isu terlucutnya keahlian lima individu terlibat.
“Saya yakin dan percaya BERSATU akan terus teguh. Kita sudah menghadapi banyak cabaran daripada awal parti ini saya tubuhkan dan menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan.”
Dalam sidang media itu juga Muhyiddin menjelaskan kelima-limanya tidak dipecat sebaliknya perbuatan mereka yang melanggar perlembagaan menyebabkan keahlian terhenti dengan serta merta.
Mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat adalah berdasarkan perlembagaan parti, beliau menegaskan tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti.
“YB Tun bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya.
Jika itu pilihan YB Tun, saya ucapkan selamat maju jaya. Kita berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala taufik dan hidayah-Nya.”
BACA: Digelar ‘Harimau’ Oleh Musuh, Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Permainan Politik Tun Mahathir
Sumber: Harian Metro, The Star