
Tulis Maklumat Sebenar Jika Kunjungi Premis Perniagaan, Bukan Nama Badang Atau Superman
Tulis Maklumat Sebenar Jika Kunjungi Premis Perniagaan
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), banyak sudah premis perniagaan dibuka semula kepada orang ramai.
Orang ramai yang mengunjungi mana-mana premis perniagaan untuk melakukan pembelian, diminta supaya meletakkan maklumat diri yang lengkap iaitu nama dan nombor telefon sebenar bagi memudahkan tujuan pengesanan kontak jika berlakunya kes COVID-19 di situ.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana pihaknya dimaklumkan terdapat pengunjung yang meletakkan nama samaran dan nombor telefon palsu menyebabkan mereka tidak boleh dihubungi jika berlakunya kecemasan kes COVID-19.
Menurutnya, mereka menulis pelbagai nama bahkan ada yang meletakkan nama Badang, Superman dan Batman.
Tegas Ismail Sabri, tindakan itu bakal mendatangkan kesukaran kepada pemilik premis untuk menghubungi pelanggan sekiranya kes positif COVID-19 dikesan di premis tersebut.
“Kita dah putuskan bahawa hanya perlu nama dan nombor telefon kerana tujuan jika berlaku apa-apa, katakan ada positif COVID-19, kita boleh hubungi mereka yang meninggalkan nombor telefon dan yang datang ke premis tersebut.
“Tapi saya difahamkan ramai orang tak beri nama yang betul, tak beri nombor telefon betul. Dia tulis sendiri, ada tulis nama dia badang, superman, batman, macam-macam. Jadi kalau jadi apa-apa, tak boleh nak hubungi dia.
“Sebab itu ada sesetengah premis mungkin meminta nama kad pengenalan supaya nama sebenar boleh diketahui. Jadi saya harap pengunjung premis perniagaan tulis nama dan nombor telefon sebenar,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masih terdapat organisasi dan syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meminta nombor kad pengenalan semasa mendaftar masuk ke premis mereka semasa PKPB.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kemungkinan premis meminta nama pada kad pengenalan supaya nama sebenar boleh diketahui.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan bahawa pengunjung premis perniagaan hanya perlu meletakkan nama dan nombor telefon bagi memudahkan proses pengesanan kontak jika ada kes positif COVID-19 direkodkan di situ.
Sumber: BH
Trending now



