Tulis Ayat Al-Quran Atas Duit Tangkal

Tulis Ayat Al-Quran Atas Duit Sebagai ‘Penarik Rezeki’ Adalah Sejenis Tangkal

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tidak dinafikan, walaupun dalam dunia serba moden hari ini masih ada segelintir orang atau peniaga yang menggunakan tangkal pelaris dalam apa segala bentuk dengan tujuan untuk menarik rezeki.

Sebagai umat Islam, kita sedia maklum bahawa meletakkan benda-benda fizikal sebagai pelaris untuk melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Penggunaan tangkal untuk apa-apa tujuan sama ada rawatan, mengelak diri daripada kemudaratan ataupun sebagai pelaris adalah diharamkan kerana ia mengandungi elemen syirik.

Begitu juga dengan kaedah menulis ayat Al-Quran di atas sekeping duit yang kononnya sebagai penarik rezeki.

Tulis Ayat Al-Quran Atas Duit Tangkal

Menurut Pustaka Ilmu, amalan begitu perlu dijauhkan kerana ia merupakan sejenis tangkal.

“Daripada yang saya faham, yang duit merah itu ditulis dengan ayat Al-Quran, kononnya untuk menjadi penarik rezeki supaya tidak putus-putus. Duit biru itu, ditulis kononnya supaya kedai tidak dirompak. Ia adalah doa jaljalut.”

Mahu mendapatkan rezeki yang baik, usahakanlah sebab-sebab yang telah diajarkan dalam agama. Bekerja, berniaga, berdoa, bertakwa, menyambung silaturrahim dan lain-lain. Bukan dengan menjadikan Al-Quran sebagai tangkal, ditulis di atas duit.

Ujarnya, berusahalah dengan mengamalkan zikir pagi dan petang untuk mendapat perlindungan Allah S.W.T, memasang CCTV, memasang kunci keselamatan dan seumpamanya.

Tambahnya, menulis di atas duit itu juga telah merosakkan nilainya yang mana ia merupakan pembaziran dan membazir adalah suatu amalan syaitan.

“Apatah lagi jika digunakan untuk membeli, itu sudah perbuatan menzaliminya orang lain memberi duit yang telah rosak.”

Mengharuskan penggunaan tangkal yang mengandungi ayat al-Quran akan mendedahkannya kepada kehinaan kerana orang yang menggantungnya akan membawa ke tempat najis ketika membuang air dan lain-lain.

Ia akan membuka ruang untuk tidak menghormati al-Quran serta meringankannya dan ini bertentangan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Malah, Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai petunjuk manusia ke jalan yang lurus, bukan untuk digunakan sebagai tangkal, azimat, penjaga atau pendinding.

Sumber: Pustaka Ilmu, Berita Harian