
Tular Video Lautan Sampah Di Perairan Langkawi, MPLBP Akui Berpunca Dari Bukit Malut
Video tular lautan sampah di perairan Langkawi.
Umum mengetahui bahawa kerajaan melaksanakan projek rintis gelembung pelancongan domestik di Pulau Langkawi bermula pada 16 September yang dijadikan kayu ukur bagi pembukaan pulau peranginan lain.
Baru-baru ini tular sebuah rakaman video yang dimuat naik seorang pengguna media sosial TikTok yang memaparkan sampah hanyut dan terapung di kawasan perairan berdekatan pulau pelancongan itu.
Kejadian tersebut didakwa berlaku di kawasan perairan berhampiran Bukit Malut dan dua buah hotel ternama di pusat peranginan tersebut.
Sedih mat , tengok dekat langkawi . Harap Yb ² Menteri atasan dapat Solve The Problem . Sebelum Hilang Keindahan Pulau Lagenda .
✅ Mohon Share .#Langkawi #pulaulangkawi pic.twitter.com/oNzj9fOrFt
— amin_hafiz 🇲🇾 (@amin_hafiszat) September 18, 2021
Pada awalnya, rata-rata netizen mengecam pencemaran itu dan mengesyaki ia dilakukan oleh pelancong yang dibenarkan memasuki Pulau Langkawi sejak beberapa hari lalu.
Namun, ada juga netizen mendakwa pencemaran itu disebabkan oleh pendatang dari Myanmar yang menduduki kawasan Bukit Malut.
Susulan video tular tersebut Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) mengakui bahawa sampah terapung itu berpunca daripada penempatan haram di Bukit Malut, menurut sumber Harian Metro.
“Memang betul sampah itu datang dari penempatan di Bukit Malut dan terapung di perairan pulau ini ketika musim tengkujuh dan air pasang besar.
“Ini kerana apabila air pasang besar sehingga ke rumah di penempatan itu, sampah yang sebelum ini dibuang akan dihanyutkan ke tengah laut,” kata Yang Dipertua MPLBP, Radzuan Osman.
Ujarnya, pihak MPLBP akan segera membersihkan sampah hanyut yang mencacatkan pemandangan di situ.
Dalam pada itu, kejadian ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memohon pihak berwajib menangani isu ini dengan kadar segera.
Terima kasih Encik @amin_hafiszat. Saya sudah hubungi pihak majlis untuk tangani isu ini segera. Langkawi pulau pelancongan. Saya rayu semua agar lebih tanggungjawab. jangan buang sampah merata. Sama-samalah kita jaga Langkawi, permata Kedah. https://t.co/hwPqRhZKBP
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) September 19, 2021
Isu mengenai Bukit Malut ini sudah bertahun-tahun diperdebatkan. Difahamkan, penempatan ini mula dibuka sejak awal 80-an oleh pelarian Myanmar yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum ia terus berkembang sehingga ke kawasan berbukit.
Bagi penduduk asal Langkawi, Bukit Malut dianggap sebagai misteri kerana penghuninya kurang bercampur dengan orang tempatan, walaupun kebanyakan mereka mulai terbabit dalam kegiatan ekonomi setempat termasuk memiliki perniagaan sendiri.

Selain itu, turut terkenal dengan persekitaran kotor dan busuk sehingga pernah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah terpaksa mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan bersama penduduk.
BACA: Kartel Dadah Langkawi Jalan Operasi Persis Raja Dadah Dunia, Pablo Escobar
Trending now



