Isu Tanya Kerja Di Kenduri Sebuah Eskperimen

Tular Tweet ‘Tanya Kerja Apa Di Kenduri’, Lelaki Dedah Ia Hanyalah Sebuah Eksperimen

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Isu bertanya tentang pekerjaan seseorang ketika berada di dalam sebuah majlis keramaian atau kenduri menjadi topik hangat di media sosial baru-baru ini.

Ciapan yang dimuat naik oleh pengguna Twitter bernama Wan Hasifi Amin menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan kenyataan tersebut kerana ia melibatkan adab dan budaya yang sudah lama ada dalam masyarakat kita.

Isu Tanya Kerja Di Kenduri Sebuah Eskperimen
Sumber: Facebook

Namun, adakah lelaki yang menulis ciapan itu benar-benar menyatakan pandangannya atau sekadar menarik perhatian warga media sosial yang mudah sensitif dengan perkara yang menimbulkan kontroversi?

Lelaki itu memaklumkan bahawa ciapan yang menjadi perbahasan di media sosial Twitter hanyalah sekadar sebuah eksperiman untuk syarikatnya sendiri.

12,520 Retweets, 2,580 Quote Tweets, 18,827 Likes and counting

Dua hari yang lepas, saya ada menjalankan eksperimen media sosial di Twitter. Eksperimen ini adalah bertujuan untuk menganalisa Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah saya rangka bagi Tatacara Pemilihan Tajuk & Penulisan di Media Sosial untuk kegunaan Content Department dan Marketing Department syarikat saya sendiri.

Saya meletakkan beberapa prinsip dalam menulis kenyataan sebagai hantaran untuk eksperimen ini di mana ianya mestilah mempunyai ciri berikut.

1. Tidak menunggang populariti pihak lain. (contohnya: memuat naik screenshot hantaran pihak lain dan membuat ulasan).
2. Tidak memfitnah mana-mana pihak.
3. Tidak mengecam atau mengaibkan mana-mana pihak.
4. Tiada unsur negatif.
5. Yang paling penting mempunyai kesemua elemen ‘viral coefficient’ yang tinggi (yang telah saya kenal pasti melalui pelbagai kajian).

 

Isu Tanya Kerja Di Kenduri Sebuah Eskperimen

Alhamdulillah. Keputusan eksperimen ini berjaya menghasilkan 3 Juta Impressions dalam tempoh kurang daripada 3 hari. Inilah salah satu teknik yang dipanggil ‘digital marketing hacks’. Semua ejensi pemasaran di dunia inginkan pelaksanaan strategi seperti ini. Tiada kos, tetapi hantaran berjuta kali dilihat.

Saya tidak aktif di Twitter tetapi saya mengambil masa yang lama untuk menganalisa pelbagai sumber kajian terhadap algorithma Twitter. It’s a good tool untuk menyebarkan sesuatu berita. Misalannya ketika musibah banjir baru-baru ini.

Saya kira Twitter merupakan sebuah medium yang sangat efisyen untuk menyebarkan maklumat. Namun, ianya juga berisiko untuk disalahgunakan sebagai sebuah medium untuk menyebarkan fitnah dan berita yang tidak sahih.

Hantaran eksperimen di Twitter yang saya lakukan ini hanyalah merupakan pos ketujuh di akaun saya sejak mendaftar Twitter pada tahun 2017 dan merupakan hantaran yang pertama pada tahun 2022 ini. Kalau tidak kerana ingin mencuba teknik yang telah saya sendiri rangka, mungkin saya sendiri tidak melakukan hantaran di Twitter.

Twitter hanya menyediakan ruang 280 huruf sahaja bagi setiap hantaran. Untuk mencipta ‘engagement mechanism’, Twitter menyediakan beberapa butang fungsi utama iaitu ‘Retweet with Comment’, ‘Retweet’, ‘Quote Tweet’ dan ‘Likes’.

Bagi fungsi ‘Likes’ dan ‘Retweet’, kebiasaannya digunakan oleh pengguna Twitter yang bersetuju terhadap sesuatu kenyataan yang dihantar oleh seseorang pengguna yang lain. Cuma bezanya, ‘Likes’ hanya menyatakan persetujuan manakala ‘Retweet’ menyatakan persetujuan serta ingin turut menyebarkan kenyataan tersebut.

Analisis di Twitter

Berdasarkan kajian oleh pelbagai pihak, fungsi ‘Quote Tweet’ dan ‘Tweet With Comment’ pula secara puratanya 80% daripada pengguna kedua-dua fungsi ini menyatakan persetujuan manakala 20% lagi melakukan hantaran tidak bersetuju dengan kenyataan seseorang pengguna Twitter yang lain.

Berdasarkan kajian juga, secara puratanya pengguna Twitter membuat keputusan menggunakan fungsi ‘Likes’ dan ‘Retweet’ dalam tempoh kurang daripada 30 saat sahaja setelah membaca sesuatu kenyataan.

Bagi fungsi ‘Quote Tweet’ dan ‘Tweet With Comment’ pula secara puratanya mengambil masa kurang daripada 60 saat sahaja untuk menggunakan fungsi tersebut setelah membaca sesuatu hantaran oleh pengguna lain. Berdasarkan kajian juga, sesuatu hantaran yang ditulis dalam tempoh kurang daripada 60 saat di Twitter kebanyakannya adalah berlandaskan emosi dan pegangan peribadi tanpa menganalisa sesuatu isu tersebut secara mendalam.

Kepada mana-mana pihak yang secara tidak langsung telah terlibat dan menjadi responden terhadap eksperimen ini saya ucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua.

Dalam setiap perkara pastinya ada risiko. Seperti yang sudah sedia ada dalam kajian yang mana apa-apa sahaja yang dimuat naik di sosial media pastinya ada sekurang-kurangnya sekitar 20% pembaca yang tidak bersetuju. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Kepada semua yang mengecam saya, don’t worry, saya maafkan anda semua kerana secara tidak langsung anda semua sudah menyumbang kepada eksperimen ini. Saya juga tidak berasa tertekan terhadap kata-kata negatif yang dilemparkan kepada saya, kerana semua ini adalah sebahagian daripada risiko yang saya ambil untuk menjalankan eskperimen ini.

Kawan-kawan, cuma ingin saya berikan sedikit pesanan yang mana jika kita ingin menghasilkan penulisan yang mempunyai ‘viral coefficient’ yang tinggi ini sebenarnya boleh sahaja dilakukan dengan berprinsip tanpa mengaibkan sesiapa dan menyebarkan perkara yang negatif. Yang penting kita kena faham apakah elemen yang boleh digunakan dan meninggkatkan kadar ‘viral coefficient’ sesuatu hantaran tersebut.

Isu Tanya Kerja Di Kenduri Sebuah Eskperimen
Sumber: Facebook

Disebabkan eksperimen ini, saya telah menerima lebih 100 mesej peribadi daripada para pemilik perniagaan yang bertanya jika saya sediakan servis pemasaran dan kelas pemasaran.

Begitulah nilaian dan sudut pandang pemilik perniagaan. Dengan sekali imbas mereka boleh tahu ini adalah satu eksperimen pemasaran. Saya betul-betul mohon maaf kerana buat masa sekarang saya belum ada kapasiti dari segi masa untuk melaksanakannya. Doakan satu masa nanti saya ada kelapangan untuk berkongsi ilmu.

Terima kasih semua.

Sumber: Facebook Wan Hasifi Amin