Jual Beli Cedok Haram Unsur Gharar

Tular Trend Jual Beli Cedok – Agamawan Perjelas Hukum, Ada Unsur Gharar

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tular sejak belakangan ini di media sosial mengenai kaedah jual beli secara cedok yang dilihat mendapat sambutan di sini.

Contohnya, penjual menyatakan harga jualan satu cedok barangan bernilai RM80 dan pembeli akan mendapat barangan tersebut secara rawak.

Pun begitu, apakah hukum bagi jual beli ‘cedok’ ini menerusi pandangan Islam?

Berikut merupakan penjelasan agamawan mengenai hukum jual beli tersebut. Ikuti perkongsian di bawah ini.

Soalan

Assalamualaikum, saya nak bertanya soalan berkenaan dengan jual beli masa kini.

Saya ada tengok yang orang jual guna kaedah cedok cedok secara live dekat TikTok dan IG Story. apakah hukumnya ya? adakah sah jual beli tersebut?

Kiranya pembeli tak boleh pilih. penjual akan jual contohnya 1 cedok barang makeup RM80.

Pembeli pun memilih nak beli 1 cedok. Jadi penjual akan cedokkan secara live 1 cedok tersebut. Barang yang akan pembeli dapat nanti random apa yang dicedokkan oleh penjual tu.

Jual Beli Cedok Haram Unsur Gharar

Jawapan

Menjual dengan cara ini adalah sama seperti jual beli gharar yang diharamkan oleh Nabi SAW. Ia sama bentuk seperti jual beli al-mulamasah yang diharamkan kerana unsur gharar fahisy yang jelas.

Rasulullah SAW telah melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual. Mulamasah juga jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual. Dan tidak boleh lagi ada pilihan.

Jual beli sebegini, menurut Ibn Hajar al-Asqalani sebagai bentuk jual beli jahiliah.

Imam Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil, tak sah kerana mengandungi unsur gharar.

Rasulullah SAW melarang keras bentuk jual beli gharar (Sahih Muslim). Gharar ialah jual beli yang mana pembeli tidak dapat pastikan barangan yang akan diperolehi (mastur al-aqibah). Bahkan bentuk dan struktur jual beli tersebut sudah dicipta untuk mewujudkan unsur ketidakpastian.

Jual Beli Cedok Haram Unsur Gharar

Gharar ada dua keadaan, sama ada gharar wujud, yang mana struktur asas jual beli itu tidak dapat dipastikan barangan diperoleh atau tidak.

Keduanya gharar al-siffah, iaitu ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi.

Cedoh-cedok adalah sama sama dengan jual beli mulamasah yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk gharar. Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi.

Hati-hatilah sama ada penjual atau pembeli, kedua-duanya diharamkan terlibat dalam aktiviti seperti ini. Ia adalah amalan jahiliah yang tidak wajar dijadikan bisnes mahupun sengaja nak buat konten.

Mungkin ada orang kata, “ala, setakat jual 5 ringgit gula-gula saja”, oleh kerana by structure ia adalah gharar maka ia tetap haram.

Wallahu a’lam.

BACA:

Sumber: Ahmad Sufyan Che Abdullah via Facebook muamalat.my