Tular Tentang Budaya ‘Ayah Long’, Apa Sebenarnya Konsep Patriarki 4

Tular Tentang Budaya ‘Ayah Long’, Apa Sebenarnya Konsep Patriarki?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Beberapa hari lalu, tular mengenai kisah sebuah keluarga makan di rumah Ayah Long yang mana ada ditetapkan beberapa ‘peraturan’ yang dikaitkan dengan konsep patriarki, antaranya:

  1. Air basuh tangan kena ada.
  2. Lelaki makan dulu, wanita standby tengok apa yang tak cukup.
  3. Apa yang tak cukup, wanita yang cukupkan.
  4. Sudah makan, lelaki tidak dibenarkan angkat pinggan ke sinki atau cuci.

Menerima banyak kecaman dan kritikan kononnya seakan merendahkan martabat wanita, pemilik akaun berkenaan menerusi MStar menjelaskan perkara tersebut dimuat naik hanya sebagai perkongsian pengalaman ketika menjadi tetamu di rumah bapa saudaranya yang mesra dipanggil Ayah Long.

BACA: ‘Topeng Besi’ Dipakaikan Untuk Wanita Kuat Membawang Pada Zaman Dahulu

Bagi menjelaskan keadaan, beliau memberitahu Ayah Long tidak pernah demand untuk dilayan sebegitu tetapi sikap ibu saudara semula jadinya menerapkan amalan tersebut.

Amalan PATRIARKI ini merupakan satu amalan yang banyak diamalkan oleh wanita zaman dahulu dan masih ada yang menggunakannya sehingga ke hari ini.

Apa sebenarnya konsep PATRIARKI?

Secara mudahnya, patriarki merupakan satu sistem masyarakat yang sebahagian besar kekuasaannya dipegang oleh kaum lelaki.

Merupakan salah satu ideologi yang menjadi sejarah peradaban kemanusiaan, konsep ini bermula sejak dari zaman dahulu lagi dalam sistem sosial timur dan barat.

Ideologi ini sering dipandang buruk kerana lelaki memegang tampuk kekuasaan dan dominan dalam pentadbiran manakala wanita hanyalah sebagai ‘orang bawahan’.

Tular Tentang Budaya ‘Ayah Long’, Apa Sebenarnya Konsep Patriarki 1
Sumber: Kompasiana

Terlampau memegang kepada konsep ini membawa kepada pengaruh yang menjerumus kepada pemikiran dan sikap yang prejudis dan diskriminasi terhadap wanita.

Dalam sistem patriarki, wanita sentiasa bergantung kepada lelaki kerana lelaki diberikan kuasa utama dalam urusan masyarakat dan pembangunan negara.

Kesan patriarki

Antara kesan yang disebabkan oleh pemikiran patriarki ialah:

  1. Pendidikan – ada sesetengah yang menganggap ‘wanita belajar tinggi-tinggi pun akhirnya ke dapur juga’.
  2. Diskriminasi di tempat kerja – hanya lelaki yang diberi peluang untuk memimpin.
  3. Sekiranya wanita menjadi mangsa jenayah pencabulan dan sebagainya, masyarakat bersimpati namun mereka akan dipersalahkan kerana cara pemakaian dan perlakuan mangsa.

Penentangan patriarki

Menentang patriarki bukan bertujuan mengagung wanita tetapi bagi mewujudkan keadilan buat wanita selaras dengan tuntutan agama.

Berbeza dengan di luar negara, amalan patriarki ditentang sehingga munculnya gerakan feminis bagi menuntut kesamarataan untuk mendominasi antara kaum lelaki dan wanita.

Tular Tentang Budaya ‘Ayah Long’, Apa Sebenarnya Konsep Patriarki
Sumber: Kompasiana

Dulu vs sekarang

Mungkin zaman dahulu, amalan patriarki ini dianggap sebagai satu amalan yang memuliakan suami. Namun seiring dengan peredaran zaman, wanita turut diperlukan untuk keluar bekerja.

Jadi ramai yang tidak bersetuju dengan amalan ini. Sejak negara merdeka, banyak usaha telah dijalankan untuk mempertingkatkan kedudukan wanita, antaranya:

  • penghapusan diskriminasi terhadap wanita di sektor tertentu – sosio-budaya, ekonomi dan politik
  • melindungi wanita daripada penderaan dan gangguan fizikal dan emosi
  • menetapkan kuota 30% untuk wanita dilantik ke jawatan tinggi termasuk ahli lembaga korporat
  • memberi cuti bersalin yang mencukupi untuk wanita yang berkerja dan cuti khas untuk suami pekerja wanita yang bersalin
  • menyediakan kemudahan dan infrastruktur, latihan dan kemahiran di tempat kerja untuk meningkatkan pencapaian mereka

Di peringkat dunia, Hari Wanita Sedunia disambuta pada 8 Mac bagi meyakinkan wanita bahawa mereka boleh mencapai impian dan cita-cita sendiri.

Amalan patriarki sebenarnya tidak salah, namun pemikiran yang terlampau obses dengan sistem ini memberikan kaum lelaki kuasa untuk lebih dominan.

Nilai-nilai ini boleh digantikan dengan nilai-nilai baru yang lebih bersifat merangkumi (positif, inklusif, saling menyokong) dalam membangunkan ketamadunan manusia.

Sama seperti yang dianjurkan agama – peranan lelaki dan wanita itu saling melengkapi sistem sosial antara satu sama lain.

Sumber: Astro Awani, MagdLene, CNN, Sosialis