
Tular Semula Kejadian Bahan Magnet Melekat Di Tempat Suntikan, Ini Penjelasan Doktor
Badan mengandungi bahan magnet selepas terima suntikan?
Walaupun jumlah peratusan penduduk dewasa menerima suntikan vaksin di sekitar Malaysia semakin meningkat, masih tetap berlegar pelbagai mitos mengenai vaksin yang tersebar di media sosial.
Sebelum ini, tidak pasti kajian daripada mana mereka baca yang mengatakan vaksin ini mampu mengubah DNA penerima selain mengandungi mikrocip untuk mengambil alih pemikiran manusia.
Belakangan ini tular semula diperkatakan duit syiling atau sudu besi mampu melekat di tempat suntikan vaksin yang dilakukan di kawasan lengan. Mereka mendakwa situasi itu berlaku disebabkan wujudnya medan magnet yang muncul.
Ahli Epidemiologi dan Penyelidik Pandemik dari Universiti Griffith, Dicky Budiman berkata, situasi itu bukan sesuatu yang ganjil selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.
Bagaimanapun, katanya tidak bermakna wujud medan magnet seperti heboh diperkatakan. Banyak sebab boleh terjadinya bahan manget ini boleh melekat pada badan manusia.

Melihat situasi ini, Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Suhazeli terpanggil menjelaskan tiada unsur magnet mahupun mikrocip dalam vaksin.
“Kajian telah dinyatakan dalam webiste Fullfact bahawa, kejadian magnet atau besi yang melekat kepada badan itu adalah tidak berkaitan dengan vaksin
Jelasnya, jumlah vaksin sebanyak 0.3-0.5ml itu terlalu sedikit untuk mensabitkan vaksin dengan aruhan magnet dalam badan.
“Saya yang terlibat di Pusat Pemberian Vaksin meneliti sendiri dalam botol tu jernih sahaja.
“Tiada pun bendasing yang dicampur. Andaikata tak nampak besi atau mikrocip bermagnet, kononnya ia bahan surih sekalipun, saya sudah uji dengan magnet, tak melekat!” ujarnya.
Katanya, terdapat segelintir manusia dalam dunia mempunyai keistimewaan luar biasa boleh melekat apa sahaja objek di badan mereka yang dipanggil magnetism.
“Ianya satu perkara biasa dan tidak membahayakan. Human magnetism itu tiada kaitan dengan vaksin pun. Masyarakat boleh layari sendiri kejadian seperti ini sejak sekian lama.”
Boleh juga disebabkan bekas plaster yang digunakan untuk menampal kapas di tempat suntikan menyebabkan besi ringan melekat di kawasan itu. Ini kerana terdapat kandungan minyak atau peluh pada tubuh badan sehingga membuatkan ia mudah melekat.
Ketika kecil kita juga sering bermain meletakkan wang syiling di dahi dan pipi. Mengapa apabila dewasa begitu mudah termakan dakyah sebegitu?