
Tular Foto Penyokong Duduk Berhimpun Dalam Stadium, Ramai Menanti Solat Saf Rapat Di Masjid
Tular Foto Penyokong Duduk Berhimpun Dalam Stadium, Ramai Menanti Solat Saf Rapat Di Masjid.
Dapat dilihat kemeriahan penyokong bola sepak membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City) semalam menerusi laporan media.
Difahamkan, hanya 20,000 penonton dibenarkan masuk ke stadium dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, namun suasana di perkarangan stadium itu dilihat meriah tanpa dunia menghadapi pandemik.
Situasi tersebut menjadi bualan netizen apabila kebanyakan penyokong yang hadir tidak begitu mematuhi SOP seperti di kawasan tempat duduk yang dilihat seolah tiada penjarakan sosial.
Perkara ini turut menarik perhatian pendakwah bebas, Firdaus Wong yang memuat naik hantaran di akaun Facebook mengatakan bahawa beliau berharap aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau juga tanpa ada penjarakkan saf sepertimana yang berlaku di stadium.
“Saya berharap agar surau dan masjid dapat diimarahkan, saf dirapatkan sebagaimana penyokong bolasepak boleh duduk rapat-rapat, penumpang bas & penumpang kapalterbang boleh duduk sebelah menyebelah.
“Rindu suasana begitu.Para alim ulamak lebih tahu fiqh keutamaan. Saya yang marhaen hanya kongsikan suara hati diri ini,” katanya.

Begitu juga dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut menyuarakan pandangan sama selepas membuat perbandingan situasi orang ramai berhimpun semasa perlawanan akhir Piala Malaysia semalam.
“Sudah tiba masanya untuk saf-saf solat di masjid dan surau dirapatkan. Individu boleh membuat saringan awal secara kendiri.
“Bagi yang terdedah kepada mereka yang positif, perlu ada kebertanggungjawaban kendiri dan elakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam termasuk masjid,” tulisnya dengan disertakan tanda pagar #SokongSafDirapatkan sebagai sokongan.
Melihat pada ruangan komen, rata-rata turut meluahkan kerinduan untuk solat dirapatkan saf seperti waktu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia. Malah, berharap pihak berkuasa mula mempetimbangkan kebenaran dan kelonggaran SOP di tempat ibadah.
Mungkin kebenaran rapatkan saf solat dalam masa terdekat
Mungkin kebenaran merapatkan saf ketika menunaikan solat bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
Kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, mereka sentiasa berbincang mengenai perkara tersebut, malahan ada disentuh dalam mesyuarat pasca-Kabinet terakhir JAKIM.
Namun, ketetapan muktamad mengenai perkara tersebut masih lagi bergantung kepada trend semasa kadar jangkitan wabak COVID-19 di kesemua tiga wilayah berkenaan.
Manakala Kerajaan Johor mengumumkan bakal membenarkan saf jemaah dirapatkan pada awal Januari depan melibatkan sejumlah 822 masjid dan 2,042 surau di negeri tersebut.
BACA: Selepas Hampir 2 Tahun, Laungan Rapatkan Saf Kembali Bergema Di Masjidil Haram
Sumber: Facebook Firdaus Wong, Utusan Malaysia