BCG COVID-19

Tular Dakwaan Negara Yang Wajibkan Suntikan BCG Kurang Kematian COVID-19, Ini Penjelasan KKM

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Masih ingatkah lagi suntikan BCG yang dilakukan ketika kita darjah enam dahulu? Dilaporkan, negara yang mewajibkan suntikan itu kepada rakyatnya berkemungkinan menjadi punca kurangnya kematian terhadap wabak COVID-19, menurut Bloomberg.

Menerusi kajian yang dilakukan di New York Institute of Technology serta University of Texas mendapati negara-negara yang mewajibkan suntikan BCG kepada rakyatnya menyaksikan kes COVID-19 jauh lebih rendah berbanding negara-negara yang tidak mewajibkan suntikan itu.

Suntikan BCG atau nama penuhnya, ‘Bacille Calmatte-Guerin’ ialah vaksin bagi penyakit tuberkulosis (TB). Ia diwajibkan untuk kanak-kanak menerima vaksin ini kerana kanak-kanak sangat mudah dijangkiti penyakit TB dan apabila virus TB merebak pada otak, ia mampu mengakibatkan terjadinya TB meningitis dan boleh membawa maut.

Apabila membuat perbandingan, kadar kematian disebabkan COVID-19 di negara yang tidak mengambil suntikan BCG adalah 20 kali ganda lebih tinggi daripada negara-negara yang mengambil suntikan ini.

Mengambil contoh sedia ada, Amerika Syarikat dan Itali adalah negara yang tidak pernah mewajibkan rakyatnya mengambil suntikan BCG dan dapat dilihat kes di kedua-kedua negara ini melebihi 100,000 kes.

Berbanding negara yang mewajibkan suntikan vaksin BCG seperti Jepun dan Korea Selatan, angka kesnya masih dianggap rendah.

BCG COVID-19

Namun, sejauh manakah kebenarannya? Kajian ini masih belum dibuat secara klinikal.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiada hujah kukuh untuk membuktikan vaksin BCG dapat menghalang penyebaran wabak COVID-19 seperti yang didakwa kajian berkenaan.

“Sehingga kini, tiada ‘dalil’ yang kuat mengatakan BCG boleh menghalang penyebaran Covid-19.

“Tetapi kajian sedang dijalankan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain untuk menghasilkan vaksin,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, jika ada vaksin ditemui untuk merawat COVID-19, pendidikan mesti dijalankan ke atas masyarakat dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sebelum ia dilaksana dan penghasilan vaksin boleh dibuat dalam jangka masa setahun.

Ketika ini, banyak negara termasuk Malaysia sedang menjalankan kajian bagi menghasilkan satu vaksin yang boleh melawan jangkitan COVID-19, dijangka mengambil masa lebih setahun.

Sumber: Bloomberg, BH