
Tular Aksi Sekumpulan Remaja Baring Tengah Jalan, Lastik Kereta Undang Kecaman Netizen
Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan keputusan mahkamah yang membabitkan seorang wanita, dikenakan hukuman atas kesalahan memandu melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja penunggang basikal lajak lima tahun lalu.
Tular kembali beberapa rakaman video yang memaparkan sekumpulan remaja lelaki melakukan aksi lagak samseng yang boleh mendatangkan bahaya.
Menerusi video tular terbabit, sekumpulan remaja itu memaparkan tindakan berani mereka berbaring di tengah jalan raya sewaktu kenderaan sedang lalu lalang.
Mereka seolah-olah tidak merasakan bahaya menanti, bahkan berasa seronok dan puas dengan perbuatan masing-masing sehingga ada yang berguling-guling di atas jalan raya terbabit.
Video lain pula memperlihatkan remaja berkenaan sedang bersembunyi di bahu jalan sebelum melastik kereta yang sedang melalui jalan berkenaan.
Bukan itu sahaja, kumpulan ini juga menunjukkan salah seorang daripadanya sedang membuat kecoh dengan menyepak objek di sebuah premis awam.
HOLY 💩..After the Lajat Bicycle Gang, a new Hobby is rolling on the road. Malaysia is blessed with so much innovative youths ! I wonder how many years of jail time for the drivers who dare to run over these brave warriors ! 😱 pic.twitter.com/oSbcSC3Kve
— Jacky Gee (@JackyGee10) April 17, 2022
Difahamkan, kejadian terbabit dipercayai berlaku di Taman Bukit Aggerik, Kuala Lumpur dan merupakan video lama sekitar tahun 2019.
Susulan video itu, orang ramai meluahkan rasa marah akan sikap sekumpulan remaja terbabit kerana telah menganggu ketenteraman awam.
Ditambah pula video itu dimuat naik ketika mahkamah memutuskan hukuman berkaitan insiden basikal lajak, netizen berpesan ibu bapa perlu bertanggungjawab dengan memantau segala pergerakan anak-anak.
“Berdosa kita jadi ibu bapa jika tidak jalankan tanggungjawab serta cukupkan keperluan untuk anak-anak, bukan wang ringgit dan barang-barang mewah tapi bagilah perhatian dan kasih sayang, janganlah sampai mereka memilih untuk mencari keseronokan cara mereka sendiri dengan kawan-kawan.”
“Ini bukan kira nakal lagi, dah jahat namanya, sebab sampai memudaratkan orang lain, buatnya lah kereta-kereta tu terbabas seperti nak elak batu atau mereka yang baring atas jalan sehingga kemalangan dan kematian.
“Dulu keluar malam takut pemandu mabuk. Sekarang keluar malam takut budak-budak tidur atas jalan.”
Sehingga kini tidak dapat dipastikan kejadian tersebut sudah diambil tindakan pihak berkuasa atau belum.