
Tukang Gunting Rambut Pelawa Diri Potong Rambut Para Gelandangan Ketika PKP
Seorang tukang gunting rambut telah menawarkan diri untuk menggunting rambut secara percuma kepada para gelandangan yang ditempatkan di Kompleks Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Lawatan daripada pihak media tempatan mendapati para gelandangan ini sedang beratur menunggu giliran untuk dipotong rambut mereka oleh tukang gunting rambut tersebut, Calvin Ch’ng Soon Kok.
Ch’ng, 46, yang bekerja di salun Tanjong Tokong memulakan kerja amalnya pada pukul 10 pagi dan akan memotong rambut seramai 40 orang gelandangan. Katanya, hanya beliau seorang yang sanggup menawarkan diri apabila Persatuan Merit Buddha Tzu Chi Malaysia bertanyakan kepada tukang gunting rambut dan pendandan untuk melakukan kerja amal tersebut.
“Kebanyakan mereka (tukang gunting dan pendandan rambut) risau tentang pandemik COVID-19 namun apabila persatuan tersebut mengatakan ia selamat untuk saya, saya tidak kisah melakukan kerja amal itu,” ujarnya.
Ch’ng juga tidak kisah untuk kembali semula memotong rambut para gelandangan di sana pada hari lain walaupun pelawaan dari persatuan tersebut hanya untuk satu hari.
Pesuruhjaya Persatuan Merit Buddha Tzu Chi Malaysia, Khoo Boo Leong berkata dengan memberi potongan rambut baharu, ia dapat memberi rasa gembira dan keyakinan kepada mereka.
“Saya melihat beberapa daripada mereka menangis kegembiraan selepas memotong rambut mereka. Walaupun hanya ditempatkan sementara namun kami akan memastikan mereka menjaga tempat itu seperti rumah mereka,” katanya.
Katanya, para gelandangan yang ditempatkan di situ secara sementara juga mengamalkan penjarakan sosial dan berdisiplin, manakala mereka yang masih kuat digalakkan melakukan senaman dan tugas seperti menyapu lantai dan membersih meja.
Selain pusat transit gelandangan di Pulau Pinang, mereka yang berada di Pusat Komuniti Sentul Kuala Lumpur juga turut diberi layanan yang sama. Menerusi Twitter rasmi Menteri Wilayah Persekutan, Tan Sri Annuar Musa berkata para gelandangan di sana sedang bergilir-gilir untuk digunting rambut.
Hari ini semua gelandangan bergilir gilir di gunting rambutnya..nampak lebih kemas..tengok sebelum…dan selepas!! pic.twitter.com/KWnVAG7ggW
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) April 7, 2020
Dapat dilihat, nasib gelandangan di serata Malaysia dibela dan mendapat perhatian kerajaan pada musik PKP ini. Difahamkan, mereka juga diberi makan 6 kali sehari yang disediakan oleh Yayayasan Wilayah Persekutuan.
Sumber: Malay Mail