
Tukang Gunting Rambut Disyaki Positif COVID-19 Selepas Kerajaan Benarkan Operasi
Kebenaran untuk memulakan operasi 10 jun yang diumumkan kerajaan telah melegakan golongan tukang gunting rambut kerana kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya kepada perniagaan itu.
Bagaimanapun, hanya setelah dua hari kedai gunting rambut dan pendandan rambut dibenarkan beroperasi di bawah SOP yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), seorang tukang gunting rambut telah disyaki positif COVID-19.
Kes itu yang berlaku di KL Trader’s Square di Setapak disedari Badan Pengurusan Bersama (JMB) KL Trader’s Square setelah dimaklumkan oleh pihak pengawal keselamatan selepas kehadiran sebuah ambulans di premis bangunan itu.
Seorang pengguna Facebook, Iqbal Ikhwandy yang juga Timbalan Pengerusi JBM KL Trader’s Square berkongsi perkara ini dengan memaklumkan tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak mereka.
“Pada 11 Jun 2020 lebih kurang jam 11.25 pagi, pihak JMB telah dimaklumkan oleh pihak pengawal keselamatan mengenai kehadiran sebuah ambulans di Block B mengambil seorang penduduk Block B KLTS yang disyaki positif COVID-19”
Menurut Iqbal Ikhwandy lagi pihak JMB telah mengambil tindakan pantas dengan menghubungi PKD Titiwangsa dan melakukan proses sanitasi di semua lif blok terlibat.
“Hospital tersebut telah mengesahkan keputusan ujian adalah POSITIF dan kemudian memaklumkan kepada PKD Titiwangsa yang telah menghantar ambulans untuk mengambil pesakit tersebut untuk dibuat swab kedua di hospital kerajaan pula.
“JMB telah menghubungi PKD Titiwangsa dan memanjangkan maklumat buku log tersebut bagi membantu PKD membuat ‘contact tracing’,” katanya lagi.
Rakan rumah tukang gunting rambut tersebut telah diarahkan untuk melakukan ujian COVID-19 setelah dikenalpasti sebagai kontak rapat.
Pihak JMB juga telah mengeluarkan notis makluman kepada semua penghuni pangsapuri tersebut.
Buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan kejadian ini.
Sumber: MDaily, Iqbal Ikhwandy