
Tudung Termahal Di Dunia Dengan Harga RM70,000 Sudah Ditempah
Bulan lalu, kecoh dengan berita tudung bawal hitam RM50,000 yang sah menjadi milik usahawan dari Pahang.
Kali ini, pengasas yang sama iaitu Bawal Exclusive kembali memecahkan rekod lama mereka dengan jualan tudung berharga RM70,000 sehelai.
Kelihatan agak mengarut, namun ketahuilah anda bahawa tudung termahal tersebut sudah pun ditempah oleh seorang usahawan berusia 30 tahun dari Kelantan yang tidak mahu dirinya dikenali.
Pada kali ini, tudung bertatahkan swarovski yang diimport khas dari Austria datang dalam warna biru seperti yang dimahukan pelanggannya dan akan dihiasi dengan kemewahan dasar laut.
Tudung yang mempunyai corak lain daripada lain itu ditempah oleh Rabiatul Hasmak melalui butik As Galleria di Lembah Sireh, Kota Bharu.
Selain itu, penghasilan tudung tersebut bakal menggunakan khidmat pakar dari Itali yang kini sedang berada di Singapura supaya dapat memberikan kepuasan kepada pemiliknya.
Bawal Exclusive terkenal dengan penghasilan tudung bawal yang berkualiti dan berbeza dengan jenama lain turut pernah menjual tudung berharga RM10,000, RM21,600 dan RM33,000.
Untuk tempahan tudung berharga RM30,000 ke atas, ianya akan dihantar terus kepada pereka di Austria manakala bagi harga belasan ribu ke bawah akan dihasilkan di dalam negara.
Sumber: Sinar Harian
Trending now



