
Tsunami Gelombang Ketiga COVID-19 Bakal Tiba Akibat Penjawat Awam Bercuti Ke Luar Negara?
Kerajaan bimbang bahawa akan tercetusnya tsunami gelombang ketiga jangkitan COVID-19 di negara Malaysia. Ini adalah kerana kerajaan menerima maklumat bahawa terdapat sekumpulan besar rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara termasuk ke kawasan berisiko tinggi sempena musim cuti persekolahan yang bermula 14 Mac lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat kementerian memberi kelulusan kepada 8,000 kakitangannya untuk bercuti di luar negara ketika itu.
Namun, beliau tidak menyatakan kumpulan kakitangan daripada kumpulan mana yang telah diberikan kelulusan bercuti ke luar negara.
Mengikut beberapa sumber yang kami dapat, kementerian yang dimaksudkan boleh jadi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana pada tempoh tersebut merupakan waktu cuti sekolah. Hampir kesemua warga Kementerian Pendidikan Malaysia adalah daripada kalangan guru sekolah. Ini adalah andaian peribadi kami sahaja, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berwajib.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menyifatkan tindakan kumpulan tersebut mampu meningkatkan risiko jangkitan kes COVID-19 apabila mereka pulang. Mengambil kira kakitangan yang ke luar negara pergi dengan keluarga mereka, mungkin terdapat empat orang satu keluarga. Maka, jumlahnya boleh mencecah 32,000 orang.
Beliau juga risau apabila mereka yang kembali ke Malaysia, terdapat kemungkinan akan mendapat kes import yang mendadak (exponential spike). Tambahnya, KKM tidak mempunyai kemampuan untuk menguarantinkan 32,000 orang.
Disebabkan kerisauan berlaku pertambahan mendadak ini, kerajaan telah melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan setiap rakyat di negara ini mengkuarantinkan diri mereka sendiri di rumah.
Terdahulu, sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan akan dilanjutkan sehingga 14 April ini. Berita berkenaan telah diumumkan sebentar tadi oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin adalah bertujuan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 dengan lebih besar.
Walaupun pengumuman ini sudah dijangka dengan melihat kepada sikap rakyat Malaysia serta kadar peningkatan kes yang berlaku, namun Perdana Menteri tetap meminta rakyat Malaysia agar kekal tenang di rumah.
Jika anda masih ingkar mematuhi enam perintah ini, anda adalah penjenayah yang boleh dikenakan hukuman denda dan dipenjara di bawah Seksyen 11(4) bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. Sama-samalah kita berusaha menghalang tsunami gelombang ketiga COVID-19.
Sumber: Astro Awani
Trending now



