
Trend Peningkatan Kelahiran Dari September Hingga November, Wad Bersalin Kini Penuh
Kesesakan yang berlaku di hospital kerajaan terutamanya di wad bersalin ketika ini adalah berdasarkan trend peningkatan kelahiran bayi yang bermula setiap September hingga November.
Wad bersalin yang kini kebanyakannya penuh juga hanya dialami pada waktu tertentu sahaja dan kemuncaknya akan berlaku pada bulan Oktober di seluruh negara.
Demikian penjelasan dari Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung kesesakan yang berlaku di wad bersalin hospital kerajaan ketika ini sehingga dilaporkan berlaku masalah kekurangan katil yang agak kritikal.
Menurut laporan Berita Harian, terdapat banyak sungutan yang diterima dari rakyat ketika ini berhubung isu tersebut.
Ada yang mengeluh kerana ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi malah ada juga rungutan yang mendakwa terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil.
“Pada mulanya anak saya ke Hospital Putrajaya tetapi mereka maklumkan katil penuh, jadi mereka rujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bila sampai ke HKL, masalah sama berlaku, tak ada katil. Jadi terpaksa ke Hospital Serdang pula… Alhamdulillah akhirnya mereka terima, tetapi terpaksa menunggu untuk ditempatkan di wad,” jelas seorang ibu kepada salah seorang wanita hamil yang sedang berdepan dengan situasi tersebut.
Menurutnya lagi, anaknya juga ditempatkan di kerusi menunggu selama tiga hari, termasuk terpaksa tidur dalam keadaan duduk.
Sebelum mendapat katil, anaknya bersama kira-kira 30 ibu hamil lain yang belum dapat katil terpaksa ke surau hospital untuk berehat kerana tidak tahan sakit badan.
Seorang penjawat awam turut berkongsi pengalaman pahitnya baru-baru ini ketika melahirkan bayi keduanya di sebuah hospital kerajaan.
“Saya bernasib baik sebab sampai saja di hospital, sudah ada bukaan dan terus dibawa masuk ke dewan bersalin. Tetapi, selepas bersalin, keadaan hospital memang sesak dengan ibu yang tunggu untuk bersalin dan sudah melahirkan anak.
“Jadi, disebabkan tak ada ruang lagi dalam wad bersalin, petugas hanya tempatkan saya di luar wad. Tak ada lokar untuk letak barang… semua kelengkapan bayi diletak di lantai sahaja, kipas pun tak ada, nak menyusukan anak pula risau orang nampak,” jelasnya yang terpaksa menunggu giliran di luar wad selama dua hari.
Sumber: Berita Harian
Trending now



