Anuar Ahmad

Trend Guru Bersara Awal, Punca Sebenar Dan Implikasinya Cetus Kerisauan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Isu pendidikan di negara kita sering mendapat tumpuan serta menjadi topik perbincangan hangat di dada-dada akhbar kebelakangan ini.

Baru-baru ini, timbul pula isu terbaharu yang didedahkan oleh Kementerian Pendidikan mengenai trend persaraan awal dalam kalangan guru yang dilihat hampir menyamai kadar guru bersara wajib.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penilaian serta perincian data kini sedang dibuat oleh pihaknya bagi mengenal pasti punca dan corak sebenar trend yang merisaukan ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pernah meminta guru di Perak agar tidak mengambil keputusan bersara awal disebabkan tekanan akibat COVID-19.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga pernah mendedahkan alasan yang seringkali dikemukakan iaitu kerana ‘burnout’ atau kelesuan disebabkan bebanan kerja yang disifatkan terlampau banyak.

Apa sebenarnya punca trend ini? Dr Anuar Ahmad melalui satu hantaran di laman Facebooknya, cuba mengupas lagi isu ini dengan menggariskan beberapa implikasi dan menyenaraikan beberapa faktor yang mungkin menyebabkan tercetusnya trend bersara awal ini.

Anuar Ahmad

Kita mempunyai hampir 430k guru di seluruh negara. Secara anggaran kasar, guru yang bersara wajib biasanya antara 10k-15k setiap tahun.

Beberapa hari lepas, YB Menteri Kanan Pendidikan maklumkan guru-guru yang bersara awal juga dalam jumlah yang hampir sama.

Jadi kita boleh buat anggaran kasar setiap tahun antara 20k-30k guru-guru telah tamat perkhidmatan samada bersara wajib atau bersara awal.

Ini anggaran kasar sahaja. Secara tepat tentulah hanya KPM sahaja yang tahu.

Apa implikasinya bila ramai guru mengambil keputusan bersara awal?

(1) Sistem pendidikan akan kehilangan ramai guru. Tetapi ada keadaan di mana ini tidak dapat dielakkan kerana masalah kesihatan, komitmen keluarga dan memilih kerjaya baru termasuk menjadi usahawan, itu pilihan guru. Tetapi media melaporkan ramai juga guru-guru yang bersara awal disebabkan oleh ‘burnout’ akibat tekanan kerja sebagai guru.

(2) Perancangan penempatan guru dan pembelajaran murid-murid akan sedikit sebanyak terjejas kerana keputusan guru untuk bersara awal.  Memanglah isu ini kritikal khususnya kesan pada pembelajaran murid-murid apabila secara tiba-tiba sekolah kehilangan guru guru yang berpengalaman. Dan tentunya mengambil masa juga untuk mengantikan dengan guru-guru baru.

(3) Tetapi keputusan guru bersara awal ada juga baiknya. Jika jiwa dan minat mereka sudah tidak lagi dalam dunia pendidikan, sebaiknya mereka bersara awal. Kekosongan jawatan mereka boleh segera diisi oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang semakin ramai jumlahnya. Ibarat kata orang ‘patah tumbuh hilang berganti’. ‘Satu pergi, sepuluh bertandang’.

Apa pun eloklah dikaji secara teliti mengapa guru bersara awal. Jika isunya adalah ‘burnout’, elok dicari jalan ‘menyelamatkan’ guru-guru yang ada sekarang.

atau…

Apakah kerana isu gaji dan gred perkhidmatan yang perlu disemak semula?

Atau isu pengiktirafan dan penghargaan?

Atau mungkin juga memang betul beban kerja sebagai guru sangat membebankan?

Atau boleh jadi juga disebabkan kualiti kepemimpinan sekolah yang menjadi penyebabnya?

Kaji dan bentangkanlah hasilnya segera. Sebaik-baiknya sebelum PRU15. 👍

BACA: Nasihat Buat Guru-Guru Muda Lelaki Yang Baru Nak ‘Up’

Sumber & kredit foto: Facebook Anuar Ahmad, BH Online, Kosmo!