Batang Kali

Tragedi Seperti Di Batang Kali Dikhuatiri Boleh Berlaku Di Lokasi Pelancongan Ini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini di Batang Kali, Selangor mungkin boleh berulang lagi di lokasi pelancongan yang lain seperti di Kundasang, Sabah.

Menurut wartawan Tracy Bul yang melaporkan untuk portal FMT, amaran tersebut dinyatakan oleh seorang ahli geologi, Felix Tongkul yang menyentuh mengenai peningkatan projek berkaitan pelancongan yang berlaku di kawasan tersebut.

Beliau mendakwa pembangunan projek-projek ini akan menyebabkan lereng bukit terjejas dan menjadi lemah seterusnya mendedahkan Kundasang kepada tanah runtuh.

Pusat pelancongan Kundasang terletak kira-kira 100km dari Kota Kinabalu dan amat popular di kalangan pengunjung kerana iklimnya yang sejuk.

Namun, daerah Kundasang terdedah kepada gegaran kecil dan pergerakan tanah. Kira-kira 70% daripada 50km persegi di sekitar bandar Kundasang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.

“Kawasan Kundasang adalah salah satu kawasan paling aktif secara geologi di Sabah.

“Justeru, sebarang pembangunan di kawasan ini, khususnya di lereng bukit yang curam, terdedah kepada tanah runtuh,” jelas Felix.

Mengimbau kembali kejadian yang pernah berlaku tahun lepas, Felix berkata sebahagian besar tempat letak kenderaan di luar Taman Kinabalu telah runtuh ke dalam gaung.

Runtuhan tempat letak kenderaan tersebut juga sebenarnya bukan satu-satunya kejadian tanah runtuh yang dilaporkan pernah berlaku di Kundasang.

Pada 2011, kejadian tanah runtuh yang lebih teruk telah memusnahkan sebuah pusat peranginan di lereng bukit sehingga memaksa lebih 100 orang berpindah.

“Kawasan berisiko tinggi harus dikenal pasti dan pembangunan di kawasan ini dihadkan. Pihak berkuasa juga harus mendidik masyarakat awam secara berterusan mengenai bahaya tanah runtuh,” tambahnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Environmental Trust, Rahimatsah Amat pula berkata tanah runtuh hanyalah satu daripada banyak bencana yang dijangka berlaku di destinasi pelancongan Sabah, termasuk tapak perkhemahan di lokasi popular seperti Kiulu, Kota Belud dan Bundu Tuhan.

“Inap desa di tempat-tempat ini tidak dirancang. Malah, bawah Akta Industri Pelancongan, binaan-binaan ini haram. Tapak perkhemahan dan binaan kekal tidak boleh dibina di sepanjang rizab sungai,” jelasnya.

Tambahnya, lembaga pelancongan negeri memburukkan lagi keadaan dengan menggalakkan penduduk luar bandar melibatkan diri dalam pelancongan berasaskan komuniti dan dengan menyokong binaan haram yang dibina di rizab sungai dan tanah rizab negeri.

Bilangan pusat peranginan yang dikendalikan oleh keluarga, khususnya di Kundasang juga meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas kerajaan Sabah melancarkan pelancongan berasaskan komuniti untuk menggalakkan penduduk tempatan memanfaatkan industri itu.

Timbul kebimbangan akan berlaku lagi kejadian tanah runtuh seperti di Batang Kali kerana beberapa binaan ini dikatakan tidak mempunyai permit yang diperlukan daripada pihak berkuasa tempatan dan bomba.

Batang Kali

BACA: Operasi SAR: Ini Sebabnya Kenapa Orang Ramai Tak Digalakkan Datang ‘Bergotong-Royong’

Sumber: FMT