
Tragedi Itaewon: Lelaki Misteri Bertopi Arnab Dituduh Jadi Punca, Kini Diburu Polis
Seorang lelaki yang memakai topi arnab dan beberapa rakannya dipercayai menjadi dalang dalam kejadian tragedi rempuhan ketika pesta Halloween di Itaewon baru-baru ini.
Menurut sejumlah pengunjung yang terselamat dalam kejadian malang tersebut, lelaki itu dan rakan-rakannya didakwa ‘menggalakkan orang ramai untuk saling tolak menolak antara satu sama lain’ sehingga terjadinya rempuhan yang mengorbankan 156 nyawa, dengan 29 lagi cedera parah dan 350 diletakkan di bawah kategori individu hilang.
Di media sosial, seorang pengunjung yang terselamat menceritakan, kekecohan bermula apabila lelaki bertopi arnab itu yang sedang berdiri di belakangnya tiba-tiba menjerit ‘Tolak! Tolak!’ sebelum menolaknya jatuh ke lantai.
Beberapa saksi yang lain turut mengesahkan ceritanya tersebut dan mendakwa seramai lima hingga enam orang lagi rakannya juga ‘membantu menolak orang ramai’ sehingga menyebabkan kekecohan mula memuncak.
Namun begitu, beberapa media tempatan melaporkan, kejadian itu sebenarnya berkemungkinan berlaku apabila orang ramai cuba memasuki sebuah bar yang dikunjungi oleh selebriti terkenal.
Portal berita Chosun melaporkan, pihak berkuasa kini sedang giat memburu lelaki misteri bertopi arnab yang dianggarkan berusia 20-an berkenaan bagi membantu siasatan.
Sehingga kini, pihak berkuasa telah memeriksa sebanyak 52 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian, termasuk video yang dikongsi di media sosial bagi membantu siasatan.
Polis Korea Selatan juga masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain mengakui kelewatan dan tindakan kurang cekap dari pasukan keselamatan menyebabkan insiden itu ‘menjadi sangat serius’.
BACA: Sambutan Halloween Di Arab Saudi: Umat Islam Sebenarnya Tak Perlu Gelisah
Sumber: Utusan Malaysia