Fun Fair

Tragedi ‘Fun Fair’: Orang Ramai Luah Rasa Kecewa, Persoal Peranan Pihak Berwajib

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Portal Majoriti melaporkan, pihak polis kini sudah pun memulakan siasatan berhubung tragedi yang berlaku di sebuah ‘fun fair’ yang menyebabkan tiga orang awam cedera termasuk seorang parah baru-baru ini.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana disyaki disyaki beroperasi tanpa lesen.

Dalam kejadian yang berlaku di Eco Grandeur, Puncak Alam, dekat Kuala Selangor, Selangor tersebut, mangsa dikatakan tercampak selepas jatuh dari permainan ‘sotong ride’ yang sedang bergerak.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan segera, menggunakan tiga buah ambulans dan sebuah jentera bomba dan penyelamat yang turut bergegas ke lokasi kejadian.

Wartawan Nurfazleen Safina Abd Jamil turut melaporkan orang ramai kini menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan dan risiko kehilangan nyawa orang awam yang merupakan tanggungjawab pihak berwajib.

“Tunggu bantuan sampai punya la lambat disebabkan di kawasan ni tak ada pun balai polis, paling berhampiran pun dekat Ijoi. Ambulans nak sampai, tunggu dari Sungai Buloh, walhal hospital yang ada di sini pun tak dapat nak hantar ambulans.

“Sampaikan mangsa dah separuh nyawa bertahan. Kalau kebakaran atau masalah apa-apa berkaitan penyelamatan pun kena tunggu bomba dari Bestari Jaya yang paling hampir,” ujar seorang warganet di laman Facebook.

“Di manakah wakil-wakil rakyat yang sepatutnya turun tengok kawasan sini? Bukan tengok beri bantuan hanya di kawasan bandar utama di Kuala Selangor je, ataupun duduk goyang kaki je tunggu ada majlis perasmian baru nak nampak muka.

“Masa pilihan raya hari tu boleh pulak turun berkempen sana sini,” ujarnya lagi.

Seorang lagi warganet berpendapat, kebanyakan ahli politik hanya mahu mengambil hati rakyat ketika pilihan raya hampir tiba, yang mana hanya dalam tempoh tersebut mereka baru menampakkan muka masing-masing untuk memberi bantuan.

Turut menjadi pertikaian ialah mengenai bandar Puncak Alam sendiri yang dikatakan tidak mempunyai fasiliti keselamatan yang lengkap.

“Balai polis yang ‘basic’ tu pun tiada. Ada pun nun jauh di Saujana Utama itu pun tak layak digelar balai polis sebab hanya lot kedai yang daif.

“Balai bomba pun tiada. Sepatutnya tak boleh lagi digelar bandar,” tambah seorang lagi netizen.

Fun Fair

BACA: Pengunjung ‘Fun Fair’ Di Cheras Selatan Maut Terjatuh Dari Roda Ferris

Sumber: Majoriti