
Tonton Video Pendapat Gadis Jepun Ini Tentang Malaysia Terutama Mengenai Tandas
Mungkin ada benar juga kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad dua bulan lalu mengenai tandas awam di Malaysia yang mana beliau meluahkan rasa malu dengan keadaan tandas di Malaysia yang tidak bersih dan busuk.
BACA: Tandas Kotor Dan Berbau Cerminan Rakyat Malaysia Kurang Sivik – Tun Mahathir
Seorang pelajar Malaysia yang berasal dari Kuala Terengganu dan juga fasih berbahasa Jepun, Ridzwan Mahazan memuat naik rakaman menemu bual rakannya dari Jepun yang pernah menuntut di Malaysia, menanyakan beberapa soalan yang dipetik dari Twitter mengenai Malaysia.
Antara yang menjadi fokus mengenai temu bual bersama rakannya itu yang dikenali sebagai Yuna Sato ialah berkaitan tandas di Malaysia. Yuna sejujurnya mengakui tidak menyukai kebersihan tandas di negara ini.
Menerusi temu bual itu, Yuna berkata tandas di Malaysia dibiarkan basah tanpa mengeringkannya.
“Ada paip air dalam tandas kan? Kita basuh guna air paip kan. Lepas tu kita biar macam tu saja. Biar dia basah macam tu,” kata Yuna yang pernah menuntut di Management and Science University (MSU).
Yuna menambah, sepanjang lima bulan berada di Malaysia beliau sedikit terseksa dengan situasi itu sehingga perlu membawa segulung tisu di dalam beg sebelum masuk ke tandas.
Selain mengenai tandas, Yuna turut mengadu kelewatan memulakan kuliah pengajian di universiti adalah sala satu perkara yang tidak disukainya apabila ditanya mengenai keburukan sikap orang Malaysia.

“Walaupun pelajar pergi kelas awal, tetapi kelas tak mula-mula pun. Kelas mula lewat setengah jam,” katanya tetapi beliau memuji sikap orang Malaysia yang sangat mesra dan mudah bertegur sapa.
Antara perkara lain mengenai Malaysia, Yuna menggemari pencuci mulut Malaysia iaitu cendol sehingga menggunakan nama Instagram, @yuna_cendol. Yuna juga menyatakan jalan raya di Malaysia ‘menakutkan’ kerana jarak antara kereta yang bergerak terlalu rapat dan hal itu boleh mengakibatkan kemalangan.
Yuna turut ditanya pelbagai soalan yang dipetik dari Twitter antaranya makanan kegemaran, lokasi percutian dan keadaan cuaca di Malaysia.
Boleh menonton lebih lanjut temu bual itu di sini.