
Tonton Bagaimana Tuala Wanita Mampu Ubah Kehidupan Seorang ‘Pad Man’
Kisah kehidupan Pad Man yang memberi inspirasi untuk menghasilkan tuala wanita mampu milik.
Terdahulu kami ada bercerita mengenai Toilet: Ek Prem Katha, kisah tandas yang diharamkan dibina di dalam rumah lakonan Ashkay Kumar dan Bhumi Pednekar.
Ashkkay Kumar terkenal sebagai pelakon versatil yang mampu membawa watak yang diberikan kepada dengan baik. Selain filem Toilet: Ek Prem Katha, ada satu lagi filem lakonan Ashkay Kumar yang menarik untuk anda tonton semasa perintah #stayathome dilaksanakan.
Pad Man (2018) merupakan sebuah filem yang diadaptasi daripada kisah sebenar Arunachalam Murugananthan, seorang usahawan sosial dari Tamil Nadu yang mencipta mesin untuk menghasilkan tuala wanita mampu milik.
Dengan genre komedi-drama, filem arahan dan tulisan R. Balki ini bermula dengan kisah perkahwinan Lakshmi (lakonan Ashkay Kumar) dan Gayatri (Radhika Apte). Kasih sayang seorang suami kepada isterinya membuatkan Lakshmi sanggup berbuat apa sahaja demi isteri tercinta.
Idea menghasilkan tuala wanita bermula apabila setiap kali Gayatri ‘datang bulan’, beliau diasingkan tidur di luar rumah.
Di kampung tersebut, semua orang perempuan yang didatangi haid akan menjalani rutin yang sama sehinggalah mereka bersih dan suci. Tradisi menjadikan topik haid sebagai salah satu topik yang tidak boleh dibincangkan secara umum.
Malah mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli tuala wanita terpaksa menggunakan kain yang sudah lusuh yang dibasuh berkali-kali sebagai cara untuk menampung darah haid yang keluar.
Kasihan dengan nasib isterinya, Lakshmi membelikan tuala wanita untuk isterinya. Namun dimarahi pula kerana harganya tersangat mahal sehingga terpaksa memotong perbelanjaan rumah yang lain.
Di tempat kerja, salah seorang kakitangan tercedera. Tindakan refleks Lakshmi menggunakan tuala wanita yang dibeli sebagai cara menahan pendarahan mendapat pujian doktor.
Bermula dari situ, Lakhsmi mula bereksperimen menghasilkan tuala wanita khas untuk isterinya. Namun menemui kegagalan sehingga niatnya disalah erti oleh orang kampung sehingga digelar sebagai lelaki tidak bermoral.
Lakshmi yang kecewa akhirnya memutuskan untuk mencuba sendiri tuala wanita yang beliau cipta.
Untuk ketahui bagaimana pengakhiran kehidupan eksperimen Lakshmi, si Pad Man anda boleh tonton filem ini di Netflix.
Sebelum itu apa kata tonton dahulu trailer nya di pautan bawah: