
“Tolonglah Rotan. Saya Nak Rotan.” – Doktor Kongsi Kisah Banduan Jalani Hukuman Sebat
Satu perkongsian yang cukup menginsafkan dan wajar untuk sama-sama dijadikan iktibar telah dibuat oleh Dr Alzamani Mohammad Idrose di Facebooknya berikut.
Dalam perkongsiannya ini, diceritakan mengenai pengalaman Dr Alzamani sendiri ketika bertugas untuk menyelia proses sebatan bagi pesalah yang menjalani hukuman sebat di sebuah penjara di utara tanah air.
Tahukah anda, menurut undang-undang di Malaysia, seseorang tidak boleh disebat apabila usianya mencecah umur 50 tahun? Kenapa agaknya, ya?
Memang amat jarang kita didedahkan dengan kisah-kisah sebegini. Terima kasih Dr Alzamani yang sudi berkongsi! Semoga kita semua memperolehi pengetahuan bermanfaat dan pengajaran dari kisah ini.
Rotan, Penjara dan Iktibar
“Doktor tolonglah…tolonglah rotan. Saya nak rotan.”
Lelaki pertengahan umur itu merayu. Ini kali kedua saya berjumpa dengannya dan saya enggan membenarkan dia dirotan.
Dia adalah banduan di Penjara Alor Setar dan ditahan atas kesalahan menggelapkan wang dan selain dipenjarakan 10 tahun, dia juga dikenakan hukuman 7 sebatan.
Ketika itu, saya adalah Pegawai Perubatan yang baru selesai latihan doktor siswazah dan bertugas di Hospital Alor Setar.
Penjara Alor Setar pula adalah bersebelahan Hospital Alor Setar dan saya dihantar untuk menyelia proses sebatan bagi pesalah penjara di situ.
Saya memandang pesalah itu.
“You ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung. Saya bimbang bila disebat, akan beri mudarat. Tekanan darah pun saya tengok tinggi hari ini.”
Dia amat sedih.
“Tolonglah doktor. Please. Lagi 6 bulan, saya dah umur 50 tahun. Saya nak disebat.”
Saya membuat keputusan tidak membenarkan. Bimbang pula kalau disebat tiba-tiba dapat strok, tentu hidupnya lebih sengsara.
Sebenarnya, menurut Undang-undang Malaysia, seseorang tidak boleh disebat apabila usianya mencecah umur 50 tahun. Walaupun diberikan hukuman sebatan, setiap sebatan akan diganti dengan penjara selama 6 bulan.
Jadi, untuk 7 sebatan, jika dia tidak disebat, dia akan dipenjara selama 6 kali 7 bersamaan 42 bulan iaitu tambahan penjara tiga setengah tahun.
Sebab itulah dia merayu untuk disebat. Saya tidak berani mengambil risiko dan menolak untuk membenarkan dia disebat. Dia amat sedih.
Saya teruskan memeriksa pesalah-pesalah lain. Sambil memeriksa, saya tanyakan juga masuk penjara atas kesalahan apa.
“Saya rompak ceti doktor,” kata seorang lagi pesalah sambil wajahnya tersenyum. Tidak ada sedikit pun cahaya rasa bersalah baginya.
“Macam mana awak rompak? Awak kena rancang ka?”
“Ya doktor. Mestilah rancang. Kita study dulu ceti ni punya tabiat. Bila dia biasa pergi bank. Dia pergi bank seorang atau ada orang ikut. Keadaan laluan ke bank. Ramai atau tidak orang pada kebiasaannya. Barulah kita boleh rompak dengan kejayaan,” sambungnya lagi dan kali ini sengihnya lebih besar dan ada nada bangga betapa bagusnya dia dalam membuat kerja rumah sebelum merompak.
“Banyak ke awak dapat?” Saya terus menyoal sambil tekanan darahnya saya ambil dan catat. Hmm… normal saja.
“Adalah doktor….”
Dia tidak memberi tahu jumlah wang yang diperolehi melainkan terus tersengih.
“Duit tu ada lagi?”
“Hehe….adaaa…..tapi mana boleh bagitau kat mana doktor..”
Kami seakan rakan lama. Dalam keadaan dia masih tersengih saya katakan, “Ok hari ni kita rotan kamu.”
Sengihnya tiba-tiba hilang.
“Alaa tak bestlah doktor..”
Terdapat pelbagai pesalah. Ada yang atas kesalahan merompak, merogol dan pecah amanah. Ada yang kelihatan sugul, ada yang relaks dan ada yang seperti tiada perasaan yang tinggal.
Seteleh memeriksa semua pesakit dan memberikan kebenaran, saya bergerak ke tempat merotan.
Kelihatan sebuah binaan berbentuk ‘A’ besar diperbuat dari besi. Tukang rotan kelihatan berlatih untuk merotan. Dia berbadan sasa dan hayunannya kelihatan kemas seakan seorang pemain golf profesional.
Paqqqqqqq!!! Paqqq! Paqqqq!!!
Kedengaran kesan bunyi rotan. Tukang rotan harus merotan tepat ke atas punggung dan tidak boleh tersasar. Jika tersasar akan tetap dianggap sudah satu rotan.
Maka untunglah banduan. Untuk satu rotan, upahnya RM2. Bagaimanapun kadar ini dinaikkan kepada RM10 pada tahun 2005.
Ada sebuah meja berhampiran dan Pengarah Penjara duduk di situ dan saya pula di sebelah. Seorang demi seorang dipanggil.
“Siapa nama awak?”
“Ahmad bin Mustafa.” (bukan nama sebenar)
“Kad pengenalan awak berapa?”
Dia membacakan nombor Kad Pengenalannya tetapi sedikit salah. Bagaimanapun, pegawai penjara memeriksa dan mengesahkan dia adalah orang yang tepat untuk dirotan.
“Bila tarikh lahir?”
Ahmad cuba sedaya upaya tetapi tidak ingat. Terdetik hati saya. Mungkin dalam hidupnya, tidak ada siapa pun yang pernah merayakan hari lahir beliau hinggakan tarikh lahir pun tidak ingat.
Begitu sekali dia terbuang atau tersisih dari keluarga dan rakan-rakan.
Pengarah Penjara membacakan kesalahan beliau dan berkata, “Hari ini kamu akan dirotan dengan 10 sebatan. Faham?”
“Faham Tuan.”
Pesalah itu diikat tangan dan kakinya pada galang. Bahagian punggung yang akan dirotan didedahkan.
Hukuman rotan pun diteruskan.
Paqq! Paqq!! Paqq!! Paqq! Paqq!! Paqq!! Paqq! Paqq!! Paqq!! Paqq!!!!
10 sebatan diselesaikan dengan kiraan satu, dua …hinggalah selesai 10 dan pegawai penjara menjerit, “Habis!”
Ikatan di galang dibuka dan pesalah terpaksa dipapah untuk kembali ke sebuah dewan untuk berbaring di situ.
Pesalah yang akan dirotan seterusnya yang mendengar perkataan ini mungkin berkata dalam hati, “Habislah aku lepas ni!”
Selesai semua dirotan, saya memeriksa semua kesan luka. Dalam Undang-undang Malaysia, semua sebatan harus dibuat dalam satu sesi. Ada had sebatan hingga 24 jumlahnya.
Bagi mereka yang menerima 5 sebatan ke atas, lukanya lebih besar dengan kulit mengelupas. Untuk ini, luka dirawat dengan ‘dressing’ dan jika ada kesan jangkitan, antibiotik akan diberikan.
Selesai tugas sebagai pegawai perubatan, pihak penjara menyajikan makan tengahari kepada saya. Saya masih ingat – kari ayam. Itulah ‘upah’ untuk saya.
Tugas menyelia banduan yang dirotan di penjara memberikan perspektif yang berbeza kepada saya. Di dalam penjara itu, terdapat pelbagai individu dan seribu satu kisah.
Bagaimana mereka terlibat hingga menjadi penjenayah juga adalah kisah yang panjang. Ada juga sejak mula tersisih dan terpinggir dan hilang kepercayaan untuk melakukan perkara yang betul dalam hidup.
Semoga semuanya memberi iktibar kepada kita dan masyarakat di luar sana peribadinya terbina dengan dapat membezakan apa yang betul dan apa yang salah.
Dr Alza
Kisah Perubatan & Kehidupan
#alzastories #alzasosial
BACA: Wanita Disebat 100 Kali Kerana Mengaku Berzina, Pasangannya Pula Terima ‘Hukuman Ringan’
Sumber: Alzamani Mohammad Idrose