
Tokoh Agama Dari Kelantan Yang Pernah Dilabel Sebagai “Ustaz Wahabi”
Perbezaan pendapat di kalangan asatizah sering berlaku dan guru-guru agama di Malaysia pada hari ini sering mendapat jolokan atau dilabel sebagai ustaz atau ustazah “Wahabi”.
Memang tidak dinafikan, manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Namun, walaupun berbeza manhaj, perkara usulnya masih sama dan agak tidak wajar sekiranya ianya berlarutan sehingga berlakunya sikap benci-membenci sesama Muslim.
Asam garam dalam berdakwah ini telah dikongsikan oleh Abdel Rahmanov melalui satu hantaran di Facebooknya yang turut menyenaraikan 3 ulama tersohor dari Kelantan yang pernah dilabel sebagai “ustaz Wahabi”.
Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia untuk sama-sama mengenali tokoh-tokoh agama tersebut.
- Di Kelantan, ada seorang ulama bernama Maulana Shaari Mustafa, seorang ulama hadis, apabila beliau memberi kuliah, beliau akan sebut hadis-hadis bagaikan air sungai yang mengalir.
- Jika Almarhum TG Nik Abdul Nik Mat (TGNA) ada keuzuran untuk menyampaikan Kuliah Tafsir di Dewan Zulkifli, Bangunan PAS, Kota Bharu, Maulana Shaari akan diminta ganti tempat TGNA. Setahu saya, tidak ramai ustaz yang berani ganti tempat TGNA. Ustaz lain yang biasa ganti TGNA ialah YB Ustaz Nasuruddin Daud, ADUN Meranti, Kelantan.
- Seorang lagi ulama di Kelantan ialah Maulana Muhammad Asri Yusoff. Beliau adalah ulama dan pakar hadis. Beliau pernah mengajar kitab Sahih Bukhari sehingga khatam. Beliau juga mengajar kitab Sahih Muslim, Jamie’ Tirmizi dan Sunan Abi Daud. Pada masa kini, semua kitab hadis ini amat jarang diajar kepada masyarakat pada masa kini.
- Semasa dahulu, Maulana Asri dianggap pelopor melawan Syiah. Buku beliau tentang Syiah diterbitkan oleh JAKIM. Maulana Asri masyhur melawan Syiah sehinggakan beliau dikenali sebagai “Maulana Asri Syiah” walaupun beliau bukan orang Syiah.
- TGNA, Maulana Shaari Mustafa dan Maulana Asri adalah guru yang saya hormati. Rakaman kuliah mereka ada di YouTube untuk manfaat bersama.
- Suatu ketika dahulu, TGNA pernah dilabelkan sebagai Wahabi. Maulana Shaari dan Maulana Asri turut dilabelkan sebagai ustaz Wahabi.
- Budaya label adalah asam garam dalam medan dakwah. Namun mereka terus menabur bakti memandaikan masyarakat dan menyedarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.
- Perbezaan manhaj tidak bermaksud berbeza juga pada perkara usul. Perkara ini perlu difahami dengan baik. Ramai orang termasuk ustaz biasa dan ustaz PhD tersilap faham tentang perkara ini.
- Suasana dakwah dan ilmu di Kelantan tidak sama dengan negeri lain.
- Tidak semestinya dengan seorang guru kita wajib mengikut 100% pandangannya. Adakalanya berbeza tetapi mereka masih guru kita.
- Berbeza manhaj juga tidak perlu sampai membenci sesama muslim dan menidakkan keilmuwan mereka. Salam hormat.
Dr. Abdél Rahmanov
22 Mei 2022
BACA: Cium Kaki Ustaz: Tidak Salah Tapi Tidak Digalakkan?
Sumber & kredit foto: Facebook Abdel Rahmanov