Botol Air Dalam Kenderaan Punca Kemalangan

Tinggal Botol Air Dalam Kereta Boleh Jadi Punca Kemalangan Jalan Raya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kadang kala, sesuatu benda remeh yang kita tidak sangka boleh menjadi punca berlakunya masalah besar.

Jika dahulu meninggalkan botol air dala kenderaan terutama ketika musim panas boleh menjadi punca berlakunya kebakaran, ia juga boleh menyebabkan kemalangan maut.

Menerusi Facebook Polis Daerah Pendang yang dipetik dari Group Penduduk Sungai Petani Kedah, salah satu aspek keselamatan yang perlu kita peka ialah cara penyimpanan botol air di dalam kenderaan.

Dalam hantaran tersebut, perbuatan meletakkan botol air ‘ikut suka’ ini boleh menyebabkan kematian. Botol tersebut boleh bergolek ke sana sini jika tidak diletakkan dengan betul sama ada di dalam plastik bersama dengan barang lain ataupun di dalam pemegang cawan (cup holder).

Bagaimanapun, ramai yang bersikap remeh apabila meletakkan botol air di bawah kerusi sama ada di bawah kerusi pemandu atau pun penumpang. Sebenarnya perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya kerana jika kenderaan mula hilang kawalan, botol air sama ada bersaiz 250ml atau 1.5 liter boleh tersangkut di bawah pedal brek.

“Tidak kira bagaimana kuat sekalipun anda pijak pedal brek tersebut, ianya tidak membantu kerana tekanan yang amat tinggi diperlukan untuk membuatkan botol tersebut pecah.”

Botol Air Dalam Kenderaan Punca Kemalangan

Jika pemandu kereta berjaya menekan pedal brek sehingga menyebabkan botol tersebut pecah sekalipun, ia akan melewatkan waktu yang sepatutnya untuk kesan menekan brek itu memperlahankan atau menghentikan kereta sepenuhnya. Setiap milisaat amat penting apabila kita berbincang mengenai kemalangan jalan raya.

Ini bukanlah cerita yang direka kerana memang ada kemalangan yang berpunca daripada kegagalan pemandu untuk menekan brek akibat botol air tersangkut di bawah pedal brek.

Justeru, jika kenderaan anda tidak mempunyai pemegang cawan yang sedia ada, boleh membelinya (third party) dan pasang di mana-man bahagian dalam kenderaan agar selamat botol air daripada bergolek di atas lantai.

Sumber: Polis Daerah Pendang