
Tindakan Dibuang Kerja & Diturunkan Pangkat, Satu Penganiayaan Buat Golongan Bawahan
Seringkali dikongsikan di media sosial kisah golongan bawahan atau rakyat marhaen yang ditindas oleh pihak atasan.
Beberapa hari yang lalu, negara dikejutkan pula oleh satu lagi perkongsian yang dibuat oleh guru cemerlang, Mohd Fadli Salleh mengenai dirinya yang bakal dikenakan tindakan tatatertib dibuang kerja atau diturunkan pangkat hanya kerana lantang bersuara.
Perkongsian beliau tersebut setakat ini telah mendapat hampir 250K tanda suka dan dikongsi lebih 101K kali sehingga akhirnya menerima respon ‘pantas’ dari Menteri Kanan Pendidikan dan Perdana Menteri sendiri.
Persoalannya ialah, sampai bila rakyat perlu diugut dengan tindakan tatatertib sebegini hanya kerana pihak atasan tidak berpuas hati?
Ir Zainuddin Omar yang turut kesal dan memandang serius isu ini telah membuat hantaran berikut di Facebooknya yang menceritakan tentang satu lagi kisah rakyat marhaen teraniaya yang pernah dialami sendiri oleh beliau satu ketika dahulu.
Kes disiplin cikgu Mohd Fadli Salleh mengingatkan saya kepada satu peristiwa 30 tahun dahulu.
Semasa memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan di satu daerah pada tahun 80’an, saya menerima sepucuk surat dari SUK (pejabat setiausaha kerajaan negeri).
Dari surat tersebut, ianya mengarahkan saya mengambil tindakan disiplin terhadap seorang pemandu di jabatan, sama ada turun pangkat atau buang kerja.
Gamaknya pemandu pejabat yang bernama Ahmad (bukan nama sebenar) telah membawa kenderaan Pajero pejabat dan melanggar belakang kereta volvo 240 GL seorang kenamaan di lampu isyarat.
Dari siasatan saya, kenamaan tersebut mempunyai sahabat seorang pegawai kanan di SUK dan kerajaan negeri telah membayar kos untuk membaiki kereta beliau, yang sepatutnya dihantar ke worksyop JKR dahulu untuk assessment.
Sekarang pegawai kanan SUK dan orang kenamaan tersebut mahu saya mengambil tindakan disiplin yang berat terhadap pemandu pejabat saya.
Saya telah memanggil Ahmad untuk mendengar penjelasan beliau dan diberitahu pada hari kejadian hujan lebat dan pemandu Volvo 240 telah membuat brake emergency di traffic light.
Ahmad yang memandu Pajero jabatan sempat brake tetapi jalan licin telah menyebabkan Pajero tergelincir dan melanggar Volvo.
Ahmad seorang pemandu baru dengan gaji tak sampai 500 ringgit dan mempunyai empat orang anak kecil. Isteri beliau tidak bekerja dan mereka tinggal di kuarters kerajaan.
Jikalau mengikut undang-undang JPJ, memang kenderaan belakang perlu 10 meter dari kenderaan hadapan.
Secara logik tiada pemandu yang mengikut prosedur sedemikian.
Kesalahan memang di pihak Ahmad dan jikalau tindakan disiplin seperti turun pangkat atau buang kerja, ianya adalah satu penganiayaan pada Ahmad pada hemat saya, kerana beliau seorang pekerja yang baik dan dedikasi.
Pajero jabatan pula tidak mengalami apa-apa kerosakan teruk kecuali sedikit dented pada absorber depan.
Saya sebagai Ketua Jabatan dan Pengerusi Lembaga Disiplin jabatan telah bersidang dan mengambil keputusan untuk memberi surat amaran tanpa rekod dalam buku perkhidmatan kepada Ahmad dan bukan turun pangkat atau buang kerja.
Selepas itu saya menerima beberapa kali surat dari pegawai kanan SUK itu agar mengambil tindakan disiplin yang lebih berat terhadap Ahmad tetapi saya abaikan sahaja.
Akhirnya tiada lagi surat dari SUK, berkemungkinan pegawainya sudah bertukar.
Moral of the story.
Gunalah apa kuasa yang ada untuk membantu golongan marhaen dari tekanan kaum bourgeois.
Jangan lupa nilai ihsan ketika menjalankan tugas.
“Sometimes being kind is more important than being right”.
‘Sing apikan iku luwih penting tinimbang sing bener’ kata orang Parit Jawa.
Wallahua’llam.
Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar
* Sinop Black Sea Turkiye.
BACA: Kisah Lelaki Menang Kes Mahkamah Lawan Kerajaan Dan SPA Gara-Gara Komen Di Facebook
Sumber: Ir Zainuddin Omar