Tikus Diberi Pingat Keberanian Setaraf Anugerah Penghormatan Tertinggi Manusia Atas Jasa…

Tikus Anugerah Pingat Keberanian

Tikus Diberi Pingat Keberanian Setaraf Anugerah Penghormatan Tertinggi Manusia.

Seekor tikus buat pertama kali menerima penghormatan sekaligus mendapat anugerah keberanian dari badan kebajikan British atas usahanya mencari periuk api yang belum meletup di Kemboja.

Magawa, seekor tikus besar Afrika, dianugerahkan Pingat Emas PDSA atas ‘kesetiaan dan keberanian menyelamatkan nyawa’ selepas menemukan 39 periuk api dan 28 bahan letupan yang belum meletup dalam tempoh tujuh tahun, menurut badan kebajikan tersebut.

People’s Dispensary for Sick Animals (PDSA) adalah badan amal untuk membantu haiwan yang cedera dan sakit milik golongan miskin. Ia bermula sebagai klinik veterinar pada 1917 kemudiannya mula mengiktiraf haiwan sebagai wira sejak 1943.

Tikus itu pernah menerima latihan daripada pertubuhan bukan kerajaan, APOPO. Magawa dianggap sebagai tikus wira paling berjaya selepas usaha membersihkan kawasan lebih 141,000 meter persegi atau menya­mai saiz 20 padang bola.

“Ini satu penghormatan untuk pelatih-pelatih haiwan kami yang bekerja keras setiap hari, rakyat di Kemboja dan semua individu di dunia yang menderita akibat periuk api,” kata Ketua Eksekutif APOPO, Christophe Cox.

Pengarah Urusan PDSA, Jan McLoughlin berkata, sumbangan Magawa membantu menyelamatkan banyak nyawa daripada ancaman periuk api.

Tikus Anugerah Pingat Keberanian

“Dianggarkan ada empat hingga enam juta periuk api ditanam di seluruh Kemboja antara tahun 1975 dan 1998, menyebabkan le­bih 64,000 orang terkorban.

“Kerja yang dilakukan Magawa dan APOPO amat unik dan mengagumkan. Keberanian, kemahiran serta dedikasi Magawa adalah contoh luar biasa dan berhak menerima satu anugerah tertinggi,” katanya.

Magawa turut dilatih untuk mengesan kandungan bahan kimia dalam bahan letupan dan mampu mengesan periuk api jauh lebih pantas berbanding alat pengesan logam.

Tikus itu mampu mencari periuk api di kawasan seluas padang bola dalam tempoh 30 minit. Manusia pula mengambil masa selama empat hari dengan mesin pengesan logam untuk keluasan sama.

Pingat Emas PDSA adalah setaraf anugerah George Cross Britain, iaitu anugerah penghormatan kepada orang awam kedua tertinggi di United Kingdom (UK).

Sumber: Permata