TikTok Tarik Balik Sekatan Video Remaja Kutuk China Berhubung Isu Xinjiang

Video TikTok Remaja Sindir China
Sumber: Alaraby

Sebuah klip video daripada aplikasi TikTok oleh seorang remaja perempuan berpura-pura menunjukkan cara melentikkan bulu mata, tetapi sebenarnya mengutuk tindakan China ke atas penduduk Islam Xinjiang menjadi tular sebelum akaunnya digantung selama sebulan.

Klip yang dihasilkan remaja Amerika Syarikat, Feroza Aziz, yang menggambarkan dirinya sebagai “Hanya seorang Muslim 17 tahun”, mencatatkan jutaan tontonan di semua platform media sosial sejak semalam.

Namun remaja itu mendakwa disekat daripada bersiaran di platform video popular, TikTok, selama sebulan selepas memuat naik video Ahad lalu mengutuk China.

Feroza memulakan videonya dengan memberitahu penonton, “Perkara pertama perlu dilakukan adalah mengambil alat pelentik bulu mata.”

Beliau kemudian menukar subjek dengan berkata mengenai apa yang sedang berlaku di China, bagaimana mereka mendirikan kem tahanan, memasukkan penduduk Islam ke situ, memisahkan anggota keluarga, menculik mereka, membunuh, merogol, memaksa mereka memakan babi, memaksa mereka minum minuman keras, memaksa mereka murtad dan meminta untuk sebarkan kesedaran tentang apa yang berlaku di Xinjiang sekarang.

Video TikTok Remaja Kutuk China
Sumber: SCMP

Aplikasi yang dimiliki syarikat gergasi media sosial China itu akhirnya bersuara meminta maaf atas apa yang berlaku.

Disebabkan video Feroza sudah tersebar di laman sosial lain, TikTok yang didakwa menyekat video tersebut menyangkal berbuat demikian dan menyatakan ia masih wujud di platform berkenaan.

Menurut TikTok, ketika itu sedang mengalami ralat yang menyebabkan video berkenaan ‘hilang’ dan telah dikembalikan kira-kira 50 minit kemudian.

“Penting untuk dijelaskan bahawa tiada apa-apa dalam Garis Panduan Komuniti kami yang menghalang kandungan seperti video itu, dan ia sepatutnya tidak disekat,” menurut kenyataan TikTok.

Bagaimanapun, Feroza tidak mempercayai kenyataan TikTok berhubung isu itu.

Kumpulan hak asasi manusia dan pakar luar berkata, lebih sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain dikurung dalam rangkaian kem tahanan di seluruh Xinjiang.

China, selepas pada awalnya menafikan kem seumpama itu wujud, menggambarkan ia sebagai sekolah vokasional bertujuan melemahkan pengarah ekstremisme dan keganasan menerusi pendidikan dan latihan pekerjaan.

Sumber: CNA