
Tiga Kali ‘Perfect 10’, Hasrat Biayai Rawatan Ibu Dorong Penerjun Cilik Dari China Raih Emas
Aksi penerjun cilik China, Quan Hongchan yang mempamerkan tiga terjunan perfect 10 dalam acara 10 meter platform individu wanita Olimpik menarik perhatian ramai.
Quan yang baru berusia 14 tahun merupakan atlet termuda China di Tokyo mengumpul pingat emas ke-33 buat negaranya, dengan mencatat mata keseluruhan menakjubkan 466.20 mata.
Dia menjadi atlet China kedua termuda yang memperolehi pingat emas Olimpik dalam acara terjun selepas Fu Mingxia yang mencatat sejarah memenangi pingat emas acara 10m platform di Olimpik Barcelona 1992 pada usia 13 tahun.
Quan ketika ditemu bual agensi berita Xinhua berterima kasih kepada bekas jurulatih dan kedua ibu bapa yang banyak menyokongnya selama ini.
“Saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa kerana menggalakkan saya untuk sentiasa bertenang dan beraksi dengan bebas tanpa mengira sama ada saya mendapat pingat atau tidak,” katanya.
Mahu membiayai kos rawatan ibu mendorong Quan raih pingat emas
Sebelum kejohanan Olimpik Tokyo, Quan pernah memberitahu media bahawa ibunya sakit dan memerlukan kos rawatan yang tinggi.
Perkara itu menjadi dorongan dan motivasi kepadanya untuk berusaha keras menempa nama dalam arean sukan.
“Kos rawatan ibu agak tinggi. Jadi saya rasa harus berusaha menjana pendapatan untuk membantu keluarga,” katanya.
Quan berasal dari Kampung Maihe, Daerah Mazhang yang membesar dalam keluarga petani. Persekitaran hidup yang sukar menjadikan remaja itu kuat berusaha dan dia mula bergiat dalam sukan papan anjal ketika berusia tujuh tahun sebelum meningkat dengan dengan cepat dan menyertai Pasukan Wilayah Guangdong pada 2018.
Menurut jurulatih di Sekolah Sukan Zhanjiang bernama Chen Huaming, atlet cilik itu disifatkan mempunyai semangat juang yang tinggi, kuat berusaha dan berani.
“Saya tidak fikir saya seorang yang luar biasa. Saya kurang bijak dalam pelajaran. Jika anda tanyakan saya soalan (akademik) tiada apa-apa dalam fikiran saya,” ujarnya ketika ditemuramah selepas acara tersebut.
Rahsia China dominasi sukan terjun
China mendominasi sukan terjun di Olimpik Tokyo menjadi perhatian ramai sehingga tertanya-tanya apakah pendekatan mereka sehingga begitu mudah menyapu bersih keseluruhan acara itu sejak 30 tahun.
Jika ditanya kepada penerjun China, mereka konsisten membalas ia adalah hasil usaha keras dan sokongan padu daripada badan sukan di sana.
Mereka tidak akan memberitahu secara mendalam atau membuka kisah bagaimana mereka menjalani latihan seharian mereka.
Cerita dan laporan yang berlegar di media seperti latihan selama tujuh jam sehari dan mungkin lebih lagi hanyalah dari kata-kata oleh penerjun negara lain yang turut mahu mengetahui resipi kejayaan China.
Selain dari usia kecil sudah menceburi bidang sukan terjun, menjadi populasi terbesar dunia juga antara faktor China kekal mendominasi dalam sukan ini. Jadi, mereka hanya perlu pilih yang paling berbakat sahaja untuk mewakili negara.
Apa yang pasti, kerja keras dan disiplin menjadi faktor utama mereka menang mudah untuk meraih pingat di temasya sukan terbesar dunia.
Sumber: SCMP, iNews, Bangkok Post