Perkhidmatan Langgan Kereta

Tidak Perlu Berhutang, Kini Anda Boleh Rasai Pengalaman Bawa Kereta Berbeza Dengan Flux

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Keputusan untuk membeli kereta mungkin merupakan keputusan kewangan terbesar bakal dibuat oleh golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan.

Kereta baharu atau kereta terpakai? Kereta tempatan atau import? Inilah persoalan yang biasa bermain dalam fikiran sesiapa sahaja apabila ingin membeli kereta.

Mungkin persoalan ini tidak lagi wujud apabila anda boleh melanggan kereta setiap bulan dengan pelbagai jenis kenderaan mengikut selera anda. Itulah yang ditawarkan oleh sebuah syarikat langgana kereta yang baharu sahaja dilancarkan di Malaysia, Flux.

Langganan kereta adalah satu fenomena baru, dan banyak syarikat kereta pernah menggunakannya sebagai eksperimen untuk menyediakan kereta kepada golongan muda yang tidak begitu berminat untuk memiliki kenderaan seperti biasa.

Kereta mewah biasanya dimiliki oleh golongan yang berkemampuan, justeru dengan perkhidmatan Flux yang diasaskan oleh Aziz Ayman ini mencabar kedudukan status dan menawarkan alternatif yang lebih baik berbanding pinjaman kenderaan biasa di Malaysia.

“Kami bangga untuk mencabar cara pemilikan kereta biasa, dengan bekerja bersama kumpulan automotif besar tempatan. Bersama, kami tawarkan anda kebebasan memilih yang sangat senang. Dalam kata ringkasnya, Flux adalah cara mudah untuk ‘memiliki’ kenderaan,” kata Aziz yang merupakan anak kepada bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Kereta yang ditawarkan adalah daripada pengedar sah dan kebanyakannya dengan keluaran terbaru, 2018-2019. Ada juga kereta keluaran lama seperti BMW 7 Series tahun 2009, Mercedes-Benz S-Class W221 tahun 2013 dan CLA 45 AMG tahun 2014.

Perkhidmatan Langgan Kereta
Sumber: Flux

Selain jenama premium, Flux turut menyediakan kereta jenama biasa seperti Honda Jazz, Toyota Yaris, Honda City, Toyota Vios, Honda HR-V, Honda CR-V, Nissan X-Trail, Toyota Camry dan Harrier. Kalau daripada Naza, terdapat Kia Picanto, Sportage, Peugeot 2008 dan 3008.

Bagaimana dengan pengurusan serta penyelenggaraan kereta yang ditawarkan Flux? Tidak perlu risau kerana mereka mempunyai pekerja yang akan menjaga segala pengurusan itu, termasuklah pembaharuan dokumen setiap tahun (cukai jalan dan insurans) dan rancangan serta pelaksanaan servis berkala dan baik pulih (termasuk barang lusuh seperti tayar). Pelayan Flux akan datang mengambil dan menghantar kereta apabila tiba waktu servis.

Bayaran bulanan pula bermula dari RM814 untuk Picanto dan jika ingin melanggan BMW 630i GT M Sport, harga yang ditawarkan ialah RM8, 837 berdasarkan terma dan syarat. Sebagai contoh, untuk Kia Picanto, harganya adalah RM895 untuk kontrak dua tahun, RM1,040 untuk kontrak 12 bulan dan RM1,221 untuk kontrak satu bulan.

Perkhidmatan Langgan Kereta
Sumber: Flux

Ini bermakna, lebih lama kontrak diambil, lebih baik tawaran yang diberi. Semua kenderaan juga didatangkan dengan pilihan jarak perjalanan tanpa had.

Melalui Flux, anda tidak perlu meletakkan bayaran pendahuluan, tetapi diganti dengan deposit satu bulan yang boleh dipulangkan semula (bergantung kepada latar belakang pelanggan dan boleh pergi hingga empat bulan).

Cara pembayaran pula, cuma perlu menggunakan kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia dan terbuka untuk warga Malaysia serta luar negara (lesen memandu antarabangsa turut diterima), selagi mempunyai kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia, nombor telefon dan berusia 25 tahun ke atas.

Untuk keterangan lebih lanjut dan melihat pilihan kereta yang ditawarkan, boleh layari laman web Flux di sini.

Sumber: Paultan