Mat Rempit PKP

Tidak Peduli Dihina, Geng ‘Mat Rempit’ Kumpul Duit Sendiri Bantu Keluarga Susah Ketika PKP

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Golongan bermotosikal selalunya dipandang serong terutama yang digelar ‘mat rempit’ kerana dikatakan mereka ini sering membuat masalah di jalan raya.

Namun, tidak menghalang kumpulan ini membantu mereka yang di dalam kesusahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika pandemik COVID-19 melanda negara, tidak kira pangkat atau darjat, tanggungjawab sesama manusia perlu ada dalam keadaan gawat ini. Bukan sahaja mereka yang duduk dalam kerajaan, malah pihak NGO mahupun individu sama-sama membantu mencari golongan susah demi kelangsungan hidup.

Termasuklah sekumpulan ‘mat rempit’ di sekitar Kota Bharu, Kelantan iaitu Team Prihatin KB, Team Isabella96 dan Team Belia Cherang Cakna telah mengeluarkan duit sendiri untuk membeli barang keperluan kepada mereka yang terjejas.

Mat Rempit PKP
Sumber: FB

Perkara ini dikongsi di laman Facebook salah seorang kumpulan itu, Muhamad Ariffuddin Shukri yang mengatakan dia dan rakan-rakan menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terlepas pandang oleh pihak berwajib dan turut terjejas kerana PKP.

https://www.facebook.com/teao.beng1/posts/2856818497720135

Memetik laporan Mstar Online, Ariffuddin mengatakan mereka telah berjaya mengumpul sebanyak RM5,000 tanpa bantuan pihak lain dan peruntukkan RM50 bagi setiap keluarga. Barang keperluan yang mereka sumbangkan itu seperti beras, gula, minyak masak, susu, sardin, tepung dan roti.

Katanya, sehingga kini sebanyak 100 buah keluarga telah menerima bantuan daripada mereka.

https://www.facebook.com/ariffuddin.shukri/posts/2852437424877399

Menurut Ariffuddin, mereka turut disertai YB Bedul atau nama sebenarnya, Nik MOhd Samsul, 29, yang merupakan salah seorang pelakon dalam sebuah produksi arahan Syahmi Sazli.

Walaupun ‘mat rempit’ sering dipandang serong oleh masyarakat, Ariffuddin memilih untuk mengabaikan persepsi negatif itu kerana orang awam tidak tahu perkara yang sebaliknya.

“Tidak semua mat rempit adalah orang jahat. Malah ada di antara kami yang berjaya sekarang dan kami memberikan kembali kepada masyarakat dengan apa yang kami mampu,” katanya kepada Mstar.

Ariffuddin juga mengatakan bahawa kumpulan mereka juga pernah terlibat dengan aktiviti kebajikan lain seperti memberikan duit raya kepada anak-anak yatim dan membantu tiga saudara lelaki kurang upaya di Tumpat tahun lalu.

Sejak PKP ini, banyak kisah yang kita dapat lihat dan dengar untuk dijadikan tauladan contohnya kisah di atas.

Sumber: MStar