
Tidak Memenuhi Kriteria, Tasik Chini Bakal Hilang Pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO?
Tasik Chini terkenal dengan lagenda naganya sejak dahulu lagi. Flora dan faunanya turut memukau setiap pelancong dalam dan luar negara.
Baru-baru ini, dilaporkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengumumkan mengenai penarikan status Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera.
BACA: Tasik Chini: Dulu vs Sekarang
Menurut laporan, Tasik Chini yang pertama daripada tiga tapak biosfera tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia UNESCO.
Antara faktornya adalah disebabkan pembukaan semula beberapa bekas tapak perlombongan di kawasan titik kecerenunan tinggi yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar.
Selain itu, penukaran menggunakan tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit turut menjadi punca utama penarikan kepada status tersebut.
Laporan itu turut menyatakan, aktiviti pengembangan pesat di Tasik Chini memberi kesan buruk bukan sahaja kepada biodiversiti serantau tetapi juga kepada ekonomi tempatan.
“Aktiviti sara hidup tradisional orang asli tempatan (suku Jakun) yang bergantung kepada sumber hutan terhalang, dan trend peningkatan pelancong yang melawat dan menangkap ikan di tasik semula jadi telah berubah akibat penebangan hutan,” kata laporan itu.
Tasik Chini awalnya telah menjadi pilihan untuk dijalankan penyelidikan kerana keunikan tasik tersebut dikelilingi pelbagai alam semulajadi.
Situasi tersebut telah menjadi perhatian netizen dan aktivis alam sekitar, rata-ratanya berasa kecewa dan tidak berpuas hati kepada pihak bertanggungjawab dengan khazanah negara ini.
Susulan itu, pihak berkuasa Malaysia telah diminta mengemukakan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini menjelang 30 September tahun ini.
Trending now



