
“Tidak Lucu” – Peguam Beri Amaran Pada Mereka Yang Suka Sangat Buat ‘Prank’
Tindakan seorang pencipta kandungan digital yang memuat naik satu video ‘prank’ membaling kek ke muka seorang wanita yang sedang membawa seorang anak kurang upaya (OKU) bersiar-siar mengundang kecaman hebat dari netizen di seluruh negara.
Walaupun video tersebut kemudiannya telah pun dipadamkan dan dijelaskan bahawa ianya hanyalah merupakan satu eksperimen sosial bagi melihat reaksi orang ramai, perbuatan melampau dan biadab tersebut didapati masih lagi belum mampu meredakan api kemarahan warganet.
Ramai yang berkongsi pendapat dan meluahkan rasa marah masing-masing melalui hantaran dan ciapan di media sosial yang mengutuk konten ‘sampah’ sedemikian.
Peguam terkemuka, Nor Zabetha turut membuat satu hantaran di Facebooknya bagi mengulas mengenai isu ini. Jom kita lihat apa komen beliau dari sudut perundangan.
Ada beberapa orang tanya perspektif undang-undang tentang video prank baling kek ke muka seorang ibu yang menjaga anak kurang upaya di taman rekreasi.
Saya baru tonton video penjelasan pemuda yang prank dan wanita yang kena prank. Rupa-rupanya video prank itu, lakonan semata-mata. Linknya ada dalam ruang komen.
Alasan mereka ianya satu bentuk sosial experiment untuk lihat reaksi orang awam. Hmm..entahlah. Selepas terima kecaman, keluar penjelasan begini. Lepas seorang buat kaedah begini, datang seorang lagi meniru kaedah ‘prank and justify’.
Begini, prank ini bukan budaya kita. Tidak sesuai. Kalau hendak prank boleh tetapi janganlah keterlaluan.
Sekarang ini, macam-macam modal prank yang digunakan ‘content creator’ muda di Malaysia. Prank terlanjur mengandung, prank tarik tudung, prank biadap dengan orang tua. Haih!
Kata pemuda ini kononnya untuk meningkatkan kesedaran. Dik, banyak cara hendak tingkatkan kesedaran dan banyak kaedahnya. Bukan yang berbentuk mengasari orang tua.
Katanya hendak lihat reaksi orang awam tetapi tidak ada yang membantu. Tidak dik, orang Malaysia ini memang jenis yang selalu membantu. Mujur awak tidak dimaki hamun atau diserang kerana provokasi menganiaya orang lebih tua. Janganlah meminta. Jangan membuat provokasi.
Tujuan muat naik sesuatu video, sudah tentu untuk tular dan dikenali. Bukan begini caranya. Biarlah dikenali itu, bukan yang dimaki dan dibenci. Ada orang jenis orang tidak kisah, asalkan dikenali. Demi kerana ‘content’.
Dari perspektif undang-undang, kalau tidak kena gaya jika kandungan sesuatu video prank yang dimuat naik berbentuk, sumbang, jelik, mengancam, lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain atau menganiaya adalah kesalahan bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Hukumannya boleh didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.
Bukankah kandungan video begini, jenis yang jelik, menyakitkan hati orang lain?
Ada video prank yang jenis mengganggu kesantunan orang atau berbentuk seksual. Ini adalah kesalahan bawah Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang berbentuk seksual dan mengganggu kesantunan orang lain. Semua ini ada hukumannya. Tidak lucu.
Ada video prank yang jenis menyentuh dan mengacah untuk menyerang. Ini juga kesalahan dan mangsa boleh juga menuntut secara sivil untuk tuntutan ganti rugi.
Bukan tidak boleh bergurau. Kalau sama-sama kawan, mungkinlah rakan kita boleh terima walaupun merepek mana pun jenis prank tetapi dengan orang asing. Hish! Sampai tarik tudung atau mengasari orang lain dan dengan harapan prank begini diterima.
Berpada-pada. Kenal budaya kita dan hormati budaya kita.
Oleh Nor Zabetha
BACA: Kenapa Konten ‘Sampah’ Dan Mengarut Sering Mendapat Perhatian?