Tidak Hormat Bahasa Melayu Didenda

Tidak Hormat Bahasa Melayu, Individu Boleh Didenda Maksimum RM50,000

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bahasa Melayu telah ditetapkan menjadi bahasa perhubungan, komunikasi serta bahasa rasmi di Malaysia. Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita diseru untuk menghormati Bahasa Kebangsaan kita.

Perdana Menteri Ismail Sabri telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei, Kemboja dan Thailand.

Dalam memartabatkan usaha itu, satu cadangan telah dikemukakan oleh Pengerusi Jemaah Pengelola DBP, Professor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Beliau mencadangkan agar individu yang didapati tidak menghormati Bahasa Kebangsaan pada masa hadapan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.

Katanya, kedua-dua hukuman adalah antara yang dicadangkan untuk pindaan akta itu yang kini dalam fasa akhir perbincangan sebelum dijangka dibentang kepada Perdana Menteri bulan depan.

“Ia bukan soal salah tatabahasa atau ejaan tetapi tidak hormati Bahasa Kebangsaan. Usul denda ini bukan untuk menghukum, ia dicadang untuk membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara,” katanya kepada media.

Tidak Hormat Bahasa Melayu Didenda

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan akan meminda akta itu bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Supaya dapat menjalankan tugas sebagai penguatkuasa bahasa dengan lebih berkesan, beliau mencadangkan agar Akta Bahasa Kebangsaan di bawah seliaan Pejabat Perdana Menteri dipinda seiringan pindaan Akta DBP.

“Bukan sahaja Akta DBP perlu dipinda tetapi pindaan Akta Bahasa Kerajaan juga perlu dilakukan kerana itu induknya. Kalau akta itu diperluas, bolehlah kerajaan meminta DBP melaksanakan dasar bahasa secara lebih jelas,” katanya.

Mengenai pindaan itu, beliau berkata, ia harus dilaksana secara holistik bukan sekadar bidang kuasa penguatkuasaan tetapi juga harus melihat aspek perantarabangsaan, pentauliahan dan pelesenan bahasa sastera.

BACA: “Why People Keep Speaking Malay To Me?”, Barista Kedai Ditegur Agar Berbahasa Melayu

Sumber: Astro Awani