Anak Luah Ibu Malu Gagal Masuk SBP

‘Tiap Malam Belajar’ – Luahan Anak Tentang Ibu Malu Kerana Gagal Masuk SBP Raih Perhatian Netizen

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Tidak dinafikan, memasuki ke sekolah berasrama penuh seperti SBP dan MRSM menjadi impian bagi setiap anak-anak serta ibu bapa selepas terbukti pelbagai pencapaian yang dihasilkan di sekolah seperti itu.

Maka, tidak hairanlah ada golongan ibu bapa menyimpan hasrat yang tinggi kepada anak-anak mereka memasuki sekolah elit itu namun tidak semua mampu memperoleh peluang tersebut.

Tular sebuah tangkap layar di media sosial yang pada awalnya dimuat naik menerusi aplikasi TikTok, seorang pelajar tahun enam meluahkan perasaan sedih kerana hasratnya tidak kesampaian ditambah dengan kekecewaan ibunya membandingkan kegagalan masuk ke SBP dengan rakan lain.

“Tadi ibu saya cakap dia malu nama saya tiada dalam ‘group’ yang dapat MRSM atau SBP.

“MRSM tak dapat, SBP tak dapat, nak jadi apa ni? Dulu nak sangat TKC, sekarang apa pun tiada,” antara kata-kata yang diluahkan ibunya.

Dia turut memaklumkan bahawa dirinya begitu sedih ibu bapanya tidak menghargai penat lelah dia belajar dengan gigih untuk menghadapi peperiksaan memasuki sekolah berkenaan.

Dia juga menjangkakan kemarahan yang bakal diteria daripada ayahnya atas kegagalan memasuki sekolah yang diharapkan.

Anak Luah Ibu Malu Gagal Masuk SBP

Tangkap layar luahan anak tersebut mendapat perhatian netizen, rata-ratanya memberi sokongan serta semangat kepada pelajar tersebut dan mengatakan bahawa zaman persekolahan hanya satu permulaan untuk kejayaan lain.

“Sekolah ialah satu sahaja anak tangga dalam kehidupan. Ibu bapa yang membentuk jati diri anak. Bukan semestinya SBP atau MRSM,” kata Amni Khassim.

“Sebagai ibu bapa, kita usahlah bebankan anak-anak dengan cita-cita kita. Memang benar kita nak anak jadi begitu begini. Tapi bukan sehingga anak rasa tertekan ikut telunjuk kita,” kata Lyna Noh.

“Terimalah hakikat, ingat rezeki Allah yang pegang, kita ini berusaha sahaja. Qada’ dan qadar itu benar, jangalah seksa emosi anak seperti ini apatah lagi di usia semuda ini,” kata Dalilah Tarmuji.

Isu ini juga telah membuka mata ramai pihak yang mana reaksi ibu bapa memberi pengaruh besar. Andai ada penerimaan positif, anak pasti berupaya bangkit. Tetapi, jika tersilap percaturan, anak mungkin berdepan tekanan, kemurungan dan akhirnya mungkin bertindak mengorbankan nyawa sendiri.