
Tiada ‘Sembang Kari’ – AirAsia Akan Jelas Isu Pengguna Kepada KPDNHEP Dalam Tempoh 24 Jam
Banyak keluhan, rungutan dan aduan orang ramai telah diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kebelakangan ini berhubung dengan mutu perkhidmatan syarikat penerbangan AirAsia.
Isu yang timbul kebanyakannya berkaitan dengan kelewatan dan penjadualan semula penerbangan AirAsia yang berlaku akhir-akhir ini sempena cuti perayaan Aidilfitri dan masih berlarutan hingga kini.
Justeru itu, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa pihak AirAsia memberikan maklum balas terutama sekali berkaitan isu yang berkisar tentang penangguhan jadual penerbangan, semakan semula jadual penerbangan sehingga menjangkau lebih 6 jam dan kelayakan pengguna mendapatkan pampasan.
Meskipun perihal mengenai industri penerbangan banyak tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT), namun beliau sebagai menteri berkaitan kepenggunaan akan campur tangan sekiranya hak pengguna turut terkait sama.
Dipetik dari portal berita Malaysiakini, beliau menjelaskan, “Bagi memudahkan pengguna, saya meminta AirAsia untuk menyediakan carta aliran mengenai proses memfailkan aduan rasmi bagi mendapatkan pampasan tertakluk kepada garis panduan ditetapkan MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) sebagai agensi kawal selia dalam isu itu.
“Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini. Kepentingan pengguna adalah amanah saya sebagai menteri KPDNHEP,” jelasnya lagi.
Melalui akaun Twitter beliau, difahamkan pihak AirAsia akan memberikan maklum balas lengkap terhadap isu yang diketengahkan pengguna menerusi KPDNHEP ini dalam tempoh 24 jam.
Beliau juga mendesak supaya MOT dan MAVCOM untuk lebih proaktif serta tampil untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu ini.
BACA: Tak Setuju Ditawar Kredit Tiket, Lelaki Ini Berjaya Dapatkan Haknya Semula Dari AirAsia
Sumber & kredit foto: Malaysiakini, Twitter @AlexNantaLinggi