Tiada Sebarang Permohonan Abu Chin Peng

Tiada Sebarang Permohonan Bawa Masuk Abu Mayat Chin Peng – KDN

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak semalam, media melaporkan bahawa abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 dan tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

Berdasarkan laporan media Thailand, Chin Peng meninggal dunia di usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurut sumber media, sebahagian abu mayat Chin Peng telah ditaburkan di laut berhampiran Lumut serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Tiada Sebarang Permohonan Abu Chin Peng
Sumber: CARI Infonet

Isu ini menjadi perbahasan dalam Dewan Rakyat yang mana beberapa Ahli Parlimen pembangkan mendesak tindakan perlu diambil terhadap pembawanya kerana dianggap kurang sensitif selain kebimbangan sama ada ia satu cubaan menghidupkan idealisme komunis ke negara ini.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk membawa masuk abu mayat Chin Peng.

“Kita tidak pernah menerima permohonan atau apa-apa tentang membawa balik abu mendiang Chin Peng.”

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk sebagaimana diputuskan sebelum ini dan akan menyiasat kesahihannya.

Memetik laporan Malaysiakini, pembawanya berkata mereka optimis kerajaan sekarang akan mempunyai sikap berbeza berbanding dengan kerajaan sebelum ini yang mana tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka menganggap tindakan yang dilakukan tidak melanggar undang-undang.

Sumber: Harian Metro, Malaysiakini