Rejab

Tiada Puasa Atau Amalan Khusus Pada Bulan Rejab – Ustaz

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bulan Rejab tiba lagi! Memang setiap kali tibanya bulan Rejab, didapati akan timbul banyak kekeliruan dan perbezaan pendapat mengenai keistimewaan bulan ini yang sering disuarakan oleh netizen di media sosial, kan?

Jangan risau. Ustaz Dr. Abdul Rahman A. Shukor melalui akaun Facebooknya, Abdel Rahmanov telah membuat kupasan mengenai isu ini untuk sama-sama dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam.

Benarkah hadis-hadis mengenai keistimewaan bulan Rejab sebenarnya adalah palsu? Bagaimana pula dengan amalan berpuasa sunat di bulan Rejab? Untuk mengetahui jawapannya, jom sama-sama kita ikuti penerangan yang dibuat oleh beliau berikut. Terima kasih, ustaz!

1 Rejab

1) Setiap tahun apabila masuk bulan Rejab maka bermula polemik tentang bulan Rejab. Ramai orang perkatakan tentang hadith-hadith keistimewaan bulan Rejab adalah palsu sehingga bulan Rejab dianggap bulan biasa. Benarkah bulan Rejab ini tiada keistimewaan langsung?

2) Tunggu dahulu! Jangan cepat memberi komentar atau copy paste tanpa meneliti pandangan ulama yang lain.

3) Perkara yang kita perlu fahami ialah ulama menyebut tiada hadith yang kuat menunjukkan tentang kelebihan bulan Rejab.

4) Perkara ini disebutkan oleh Ibnu Rajab Al-Hanbali, Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Ibnu Hajar Al-Haitami dan sebagainya.

5) Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut,

“Tidak ada hadith yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, begitu juga (tidak ada riwayat) tetang berpuasa padanya, dan berpuasa mana-mana hari daripadanya secara khusus, begitu juga tentang menghidupkan malam tertentu padanya.”

6) Namun begitu, jangan kita terlupa bahawa bulan Rejab adalah bulan Haram. Perkara ini ramai pihak yang terlepas pandang.

7) Bulan Haram terdiri daripada 4 bulan haram iaitu bulan Muharram, Rajab, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan ini istimewa kerana Allah menjaga kesuciannya dan dijadikan bulan-bulan pilihan berbanding bulan-bulan lain.

8) Pada bulan Haram, Allah melarang tumpah darah iaitu peperangan. Firman Allah SWT seperti berikut:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً فِي كِتَابِ اللّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَات وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلاَ تَظْلِمُواْ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَآفَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”. (Surah Al-Taubah: 36)

9) Amalan ibadat pada bulan Haram mendapat ganjaran besar.

10) Ibnu Kathir menukilkan pendapat Ibnu Abbas yang menjelaskan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amalan soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.

11) Dengan itu, amalan berpuasa dan ibadat lain pada bulan haram adalah sunat dan digalakkan.

12) Jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie serta sebahagian daripada mazhab Hanbali mengatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab sebagaimana sunat berpuasa pada bulan haram yang lain.

13) Sunat berpuasa pada bulan Rejab adalah berdasarkan  hadith riwayat Usamah bin Zaid RA yang bertanya kepada Nabi SAW mengapa banyak berpuasa dalam bulan Syaaban. Nabi SAW menjawab:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ.

“Bulan itu (Syaban) adalah bulan yang dilupakan oleh manusia berbanding bulan Rejab dan Ramadan, ia bulan yang diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku suka diangkat amalanku dan aku berpuasa”. (Riwayat Al-Nasa’i)

14) Berdasarkan hadith ini, Nabi SAW memberi penekanan berpuasa pada bulan Rejab. Ada ketika Nabi SAW berpuasa dan ada ketika Nabi SAW tidak berpuasa.

15) Uthman bin Hakim Al-Ansari bertanya Said bin Jubayr RA mengenai puasa Rejab. Said RA menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas RA mengatakan:

“Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Riwayat Muslim).

16) Perkara lain perlu difahami ialah ulama menyebut memang banyak hadith palsu tentang bulan Rejab. Ibnu Hajar Al-Haitami berkata,

“Terdapat banyak hadith palsu tentang kelebihan puasa bulan Rejab. Namun imam-imam kami dan ulama lain tidak menggunakannya sebagai dalil bagi mengatakan sunat berpuasa bulan Rejab. Mereka sama sekali tidak akan berbuat demikian.”

17) Kemudian Ibnu Hajar Al-Haitami membawa hadith-hadith dhaif dalam isu ini. Beliau menjelaskan hadith dhaif, mursal, munqati’, mu’dhal dan mauquf yang dapat diterima dalam fadhail amal secara ijmak. Beliau berkata,

“Tidak syak lagi puasa dalam bulan Rejab adalah di antara fadhail amal. Maka memadai berpegang dengan hadith dhaif dan sebagainya.”

“Dengan itu, diharuskan berpuasa pada hari berkenaan sebagaimana hari-hari yang dibenarkan berpuasa sunat.”

18) Kita perlu juga memahami  Bulan Rejab adalah bulan persediaan untuk kita bertemu dengan bulan Ramadhan. Syeikh Abu Bakar Al-Warraq berkata,

شَهْرُ رَجَب شَهْرُ الزَّرْعِ وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سُقْيِ الزَّرْعِ، وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حَصَادِ الزَّرْعِ

“Bulan Rejab adalah bulan menanam, bulan Sya’ban adalah bulan menyirami tanaman dan bulan Ramadhan adalah bulan memungut hasil tanaman.”

مَثَلُ شَهْرِ رَجَبٍ كَالرِّيْحِ، وَمَثُل شَعْبَانَ مَثَلُ الْغَيْمِ، وَمَثَلُ رَمَضَانَ مَثَلُ اْلمطَرِ، وَمَنْ لَمْ يَزْرَعْ وَيَغْرِسْ فِيْ رَجَبٍ، وَلَمْ يَسْقِ فِيْ شَعْبَانَ فَكَيْفَ يُرِيْدُ أَنْ يَحْصِدَ فِيْ رَمَضَانَ

“Perumpamaan bulan Rejab seperti angin, bulan Sya’ban seperti awan yang membawa hujan dan bulan Ramadhan seperti hujan. Barang siapa yang tidak menanam pada bulan Rejab dan tidak menyiraminya pada bulan Sya’ban,bagaimana dia mahu memungut hasilnya pada bulan Ramadhan?”

19) Kesimpulannya, bulan Rejab adalah bulan istimewa berdasarkan hadith fadhail amal dan ia adalah bulan Haram.

20) Masyarakat juga perlu memahami bahawa tiada puasa atau amalan khusus pada bulan Rejab. Namun begitu, puasa dan amalan ibadat pada bulan Rejab adalah adalah harus dan digalakkan sebagaimana perbincangan ulama. Salam hormat.

Dr. Abdel Rahmanov
23 Januari 2023

BACA: Rasulullah Tidak Berhijrah Bulan Muharam, Ini Sejarah Bagaimana Takwim Islam Mula Digunakan

Sumber: Abdel Rahmanov