Tepung Pelita Paya Jaras Tiada

Tiada Penjualan Tepung Pelita Paya Jaras Ramadan Tahun Ini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menjelangnya bulan Ramadan, telah menjadi tradisi rakyat Malaysia membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan. Antara juadah terkenal dijual di bazar Ramadan ialah martabak, roti john, pelbagai jenis minuman dan kuih tepung pelita.

Dalam banyak-banyak kuih tepung pelita, Tepung Pelita Paya Jaras yang paling terkenal dalam kalangan warga Kuala Lumpur kerana dikatakan masih menggunakan resipi yang diwaris sejak sekian lama.

Bagaimanapun, pengusaha Tepung Pelita Paya Jaras mengatakan penjualan kuih tradisional popular ini tidak akan beroperasi untuk Ramadan tahun ini memandangkan pandemik COVID-19 melanda negara.

Mengakui ramai yang kecewa dengan keputusan untuk tidak membuat kuih berkenaan tahun ini, pemiliknya, Watie Abdul Rahman, 48 tahun dan suami, Nadzri Taris, 46 tahun terpaksa berbuat demikian demi kebaikan semua rakyat Malaysia.

Memetik laporan Awani, pengusaha mengatakan apabila berniaga, mereka memerlukan pergerakan yang banyak untuk memenuhi permintaan dan barang-barang yang disalurkan kepada orang.

Maka, demi menyahut permintaan kerajaan menyarankan untuk patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19, pengusaha mengambil keputusan untuk tidak menjual bagi Ramadan tahun ini.

Menurut Watie, banyak permintaan daripada ejen-ejen jualan untuk menjual kuih berkenaan, namun beliau masih berpendirian tidak akan menjalankan operasi tahun ini.

Begitu juga terhadap jualan dalam talian, mereka tidak akan melakukan operasi berkenaan bagi mengelakkan sebarang pergerakan terutama sepanjang PKP.

Tepung Pelita Paya Jaras Tiada

“Kami tidak membuat sebarang jualan atas talian juga. Jadi sekiranya ada mana-mana pihak yang menggunakan nama kami Tepung Pelita Paya Jaras untuk bulan Ramadan ini yang menjual secara atas talian, itu bukan daripada kami sebab kami tiada jualan atas talian Ramadan ini. Jumpa kami di tahun depan,” jelasnya.

Beliau mengakui keputusan untuk tidak membuat jualan Tepung Pelita terkenal itu tahun ini mungkin menjejaskan satu-satunya pendapatan beliau dan suami semasa bulan Ramadan.

Namun, baginya, keuntungan adalah perkara kedua, dan lebih penting adalah usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Kuih putih hijau manis bersatu di dalam daun pandan ini merupakan hasil air tangan Nadzri Taris dan isterinya, Watie Abd Rahman bermula pada tahun 1999 dengan hanya 15 dulang dan kini memiliki sebuah kilang.

Disebabkan kuih ini jugalah, nama Kampung Paya Jaras yang terletak di Sungai Buloh menjadi sebutan ribuan warga kota setiap kali bulan puasa.

Sumber: Awani