
Tiada Pelawat Ketika PKP, Nasib Haiwan Dan Pekerja Di Zoo Negara Hanya Bergantung Pada Dana
Wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini memaksakan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan termasuklah kawasan tumpuan pelancongan turut ditutup kepada orang awam seperti Zoo Negara.
Melihat keadaan ini, Zoo Negara turut terkesan dengan ketiadaan pelawat. Hal itu menyebabkan seorang individu ini terpanggil untuk bertanyakan keadaan haiwan-haiwan dalam Zoo Negara memandangkan tiada pelawat yang dibenarkan berkunjung sepanjang PKP.
Kita sedia maklum, zoo yang terletak di ibu negara ini amat memerlukan lebih ramai pengunjung dan penaja bagi menampung kos operasi, terutama bagi penjagaan harimau Malaya yang boleh menelan belanja sebanyak RM500,000 setahun.
Menerusi hantaran di Facebook yang ditularkan M Hafiz Ostmann berkenaan keadaan Zoo Negara, pihak di sana mengatakan pendapatan mereka sedikit terjejas. Oleh itu, sumbangan dana sedikit sebanyak boleh membnatu mereka memberi makanan kepada haiwan.
Memetik laporan Harian Metro, kata Timbalan Presiden Zoo Negara, mereka masih mampu meneruskan operasi seperti biasa meskipun berhadapan cabaran getir ini. Buat masa ini, pihak zoo bergantung kepada duit tabung sedia ada bagi menampung kos operasi merangkumi gaji pekerja dan makanan haiwan.
Katanya, mereka masih mampu bertahan buat sementara waktu tetapi jika PKP berlanjutan dua hingga tiga bulan, tidak tahu apa akan jadi kerana kewangan amat terhad.
Zoo Negara amat menghargai sumbangan orang ramai yang mengambil berat mengenai kelangsungan organisasi itu. Bagaimanapun, mereka tidak pernah melantik sesiapa secara rasmi untuk meminta sumbangan atau derma.

Sejak hantaran dari M Hafiz Ostmann itu, pihak zoo menerima maklum balas begitu menggalakkan. Justeru, bagi menghargai mereka yang memberi sumbangan pihaknya akan memberi tiket percuma Zoo Negara yang sah digunakan dalam tempoh setahun.
“Sesiapa yang menderma, mereka layak mendapat mininum satu tiket percuma dan hanya perlu menunjukkan bukti transaksi sumbangan,” katanya.
Bagi anda yang turut terpanggil dan prihatin dengan nasib haiwan-haiwan di sana, boleh memberi sumbangan ikhlas serendah RM50 ke tabung Malaysian Zooligical Society.

Untuk pertanyaan lanjut tentang sumbangan ini, boleh ke laman Facebook Zoo Negara Malaysia. Sama-samalah kita membantu nasib haiwan-haiwan di sana!
Sumber: Harian Metro, M Hafiz Ostmann