
Tiada Lagi Sidang Media COVID-19 Mulai Minggu Depan, Dr Noor Hisham Sudah Kembali Bertugas Di Bilik Bedah
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan sudah tiada lagi sidang media harian berkenaan dengan perkembangan COVID-19 bermula minggu hadapan.
BACA: Dr Noor Hisham Disenarai Antara Tiga Doktor Terbaik Dunia Tangani Krisis COVID-19
Berterima kasih kepada semua yang hadir semalam, Dr Noor Hisham dilaporkan sudah kembali ke bilik bedah bagi menjalankan tugasnya sebagai pakar bedah bermula hari ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir hari Sabtu ini. Kita tetap akan menjalankan dan memberi maklumat terkini tetapi minggu depan kita mungkin akan menjarakkan sidang akhbar ini.”
Sepanjang tiga bulan wabak pandemik COVID-19 menyerang Malaysia, wajah Dr Noor Hisham sentiasa ditunggu dan dilabelkan sebagai individu paling popular di Malaysia bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai wabak tersebut.
Dan sepanjang tempoh itu hanya dua kali sidang media harian COVID-19 tidak diadakan, digantikan dengan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu pada 9 Mei lalu dan 1 Syawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada petugas media dan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membantu kerajaan dan orang ramai dalam memutuskan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
Sempat ‘mencuri’ masa kembali ke bilik bedah bagi melakukan pembedahan tiroidektomu untuk pesakit yang menghidap right dominant multinodular goitre pagi 12 Jun lalu, perkongsian gambar di bilik bedah disambut dengan kata-kata positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji sikap dedikasi beliau dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.
“Amat ‘menyegarkan’ berada semula dalam bilik bed4h untuk menenangkan diri saya dan bertemu dengan semua staf OT (bilik bedah) saya.”
Sumber: Noor Hisham Abdullah