Foto Editor Odisi

“Tiada Lagi Perokok Di Malaysia”, KJ Umum Akan Perkenalkan Akta Baharu Bagi Mengharamkan Rokok Dan Vape

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Akta baharu akan diperkenalkan oleh kerajaan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (KJ) yang mendedahkan aktiviti tersebut menjadi faktor kepada penyakit kanser dan menyumbang kepada 22% kematian akibatnya.

KJ walau bagaimanapun berkata, akta tersebut hanya melibatkan generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game (tiada kaitan dengan filem Avengers: Endgame).

BACA: ‘Influencer’ Dihalang Promosi Vape Dan Rokok Di Instagram

Akta baharu tersebut seterusnya akan dapat mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau.

“Bermakna jika anda berumur 17 tahun dan Parlimen meluluskan akta itu, anda tidak lagi dapat membeli sebatang rokok di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kanser Peringkat KKM yang diadakan secara maya.

Tangkap layar dari BH Online
– Tangkap layar dari BH Online

Menurutnya lagi, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok ketika ini pula dianggarkan sebanyak RM132.7 juta.

Di Malaysia, kes kanser juga mencatatkan peningkatan sebanyak 11% iaitu 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

BACA: Boleh Sebabkan Kematian Bayi Secara Tiba-Tiba, Bahaya ‘Vaping’ Bukan Kepada Penggunanya Sahaja

Dianggarkan juga ketika ini, setiap seorang daripada 10 lelaki dan setiap seorang daripada 9 wanita berkemungkinan akan mendapat penyakit kanser.

Tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki di Malaysia adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9%), kanser paru-paru (14.8%) dan kanser prostat (8.1%).

Di kalangan wanita di Malaysia pula adalah kanser payudara (33.9%), kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks (6.2%).

Tangkap layar dari Malaysiakini
– Tangkap layar dari Malaysiakini

KJ turut mendedahkan kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95% dan sebab kematian keempat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 11.56%.

“Pelaksanaan (akta baharu) ini akan mengurangkan jumlah perokok baharu, seterusnya akan tiba satu masa, tiada lagi perokok di Malaysia,” jelas KJ.

BACA: Kantoi Hisap Vape Dalam Dewan Rakyat, Hishammuddin Tampil Mohon Maaf

Sumber: BH Online, Malaysiakini