
Tiada Lagi Maaf, Pasang Jalur Gemilang Terbalik Akan Terus Ditahan
Saban tahun, pasti ada sahaja isu pemasangan bendera Jalur Gemilang terbalik. Tindakan beberapa pihak yang menggantungkan bendera secara terbalik dianggap mahu mempersenda selain pengkhianatan terbuka kepada negara tercinta.
Terkini, muncul kembali isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah sekolah kebangsaan di Kluang. Dilaporkan, insiden berlaku berikutan kakitangan swasta tersilap menaikkan bendera dan tidak menyedarinya.
Susulan isu itu, polis memberi amaran terakhir kepada pihak yang mempersenda Jalur Gemilang termasuk memasangnya secara terbalik, untuk bersiap sedia ditahan selepas ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sudah terlalu kerap Jalur Gemilang dipasang secara terbalik dengan alasan tersilap.
“Kita sudah merdeka 63 tahun, tidak sepatutnya berlaku kesilapan lagi. Ini amaran terakhir, tiada maaf lagi jika tersilap selepas ini,” katanya.
Menurut beliau, polis tidak lagi memberi amaran selepas ini dan jika ada lagi kes, kertas siasatan terus dibuka sama ada Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selain Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Bukan kes di atas itu sahaja, berlaku juga insiden Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang secara terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau.
Empat pekerja termasuk seorang pengurus kilang berusia 56 tahun, dua lagi adalah pekerja wanita terdiri daripada seorang pegawai sumber manusia berusia 29 tahun dan seorang kerani logistik berumur 23 tahun telah ditahan.
Amat mengecewakan kerana usia mereka semuanya cukup tahu dan kenal rupa bentuk Jalur Gemilang tetapi masih bersikap remeh dengan pemasangan bendera tanah kelahiran mereka sendiri.
Difahamkan, kesemua mereka yang ditahan memberi alasan ia dipasang oleh warga asing (atas arahan mereka) tetapi sebagai rakyat Malaysia kita kena prihatin, selia dan lihat sendiri cara warga asing tersebut memasang bendera.
Amat kesal sekali kerana masih terdapat mereka yang tergamak berbuat demikian dan antara suspek ditahan pula sudah berusia serta negara pula sudah merdeka selama 63 tahun.
Sumber: HMetro